Recent Posts

Saturday, 31 January 2015

#tanka7


Thursday, 22 January 2015

WAJAH-WAJAH BERTOPENG


Siapa kita?
Seandainya tiada kiriman tertera nama kawan
seandainya tiada tanda membentuk nama teman
seandainya tiada seruan di atas nama sahabat.

Mungkinkah ikhlas di hati mereka?
Menerima tanpa dipaksa
rela tanpa digesa
pada setiap nukilan dan lakaran
tergarap dan terbentuk
seterusnya berhasil untuk dinikmati
bahan bacaannya.

Di sini aku pilih
untuk tidak mengirim
menanda
dan menyeru nama mereka
kerana dari situ dapat aku melihat
wajah-wajah sebenar di sebalik topeng
kawan, teman dan sahabat.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
22/01/2015.

Tuesday, 20 January 2015

PANTULAN


Di air tenang
senja membias cahaya
wajah gelita.

Berona jingga
tebing sejengkal jarak
solekan malam.

Langit tenggelam
malam mencermin siang
lembaran hidup.

Kalam menerpa
wajah bertukar warna
seiras ganti.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
20/01/2015.



BINTANG RINDU


PAK SANGGUP: DEMI SEBUAH MARUAH


Padi berisi
patung tidak bernyawa
penjaga aib.

Telan maruah
melindung padi bunting
pahit berjadam.

Hidup pak sanggup
tegak di tengah sawah
menunggu gugur.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
20/01/2015.



Wednesday, 14 January 2015

SELOKA BUDAYA ROCK DAN BUDAYA K-POP


Bila cinta berakhir
segala janji tidak dimungkir
potong rambut menteri syair
koyakan seluar dihenti pemer.

Pusara di lebuh raya
tiada hantu yang merbahaya
pakaian hanya budaya
di dalam surau bertakbir raya.

Dahulu fenomena rock kapak
sekarang dah jadi emak bapak
kini K-pop pula bertapak
suntik botox bercupak-cupak.

Taman Rashidah utama
di malam pentas penuh berwarna
sorakan hidup mula bergema
lagu K-pop ada faham ke makna?

Umpama mimpi dalam mimpi
kawalan pentas amatlah rapi
anak dara duduk di tepi
tunggu jemputan bergesel pipi.

Mentari merah di ufuk timur
menggaru kepala penuh kelemumur
budak-budak tak cukup umur
dipeluk, diraba dianggap makmur.

Orang timur lagu rock dikarang
di dalam pondok tepinya bendang
apa nak jadi bebudak sekarang
maruah di dalam dulang, terhidang.

Dahulu lain sekarang lain mencelah
bukan madah yang penuh berhelah
semua pihak buka mata dan pandanglah
bebudak mentah harus disekolah.

Jangan sampai maruah diratah-ratah.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
14/01/2015.



SELOKA PEMINAT FANATIK


Baru-baru ini timbul cerita
kisah peminat seakan buta
penyanyi luar di hati bertahta
terkinja-kinja serabutkan mata.

Bukan aku mahu mengata
jauh sekali mengumpat tinta
tapi menulis seloka kita
adat timur kekalkan cinta.

Peminat fanatik bagai terlupa
siapa kita penyanyi tu pula siapa
kerana buta nafsu menyapa
bukan muhrim sangguplah dilupa.

Di atas pentas didakap mesra
siap ciuman beralas kamera
bangga terasa menjadi si dara
maruah ke mana memalukan sanak saudara.

Ada mengata ada juga yang mengutuk
bagai padi belatuk mematuk
telah terjamu lagikan terantuk
membuka aib sendiri yang tunjuk.

Kepada peminat janganlah tidur
anasir jahat bersedia menggempur
tidak salah hendak berhibur
jaga diri tingkahlaku disusun atur.

Kepada penguasa aku berpesan
sebagai insan aku berehsan
jangan dibenarkan penganjur setan
bertapak lagi mengatur persembahan.

Seloka ini mengundur dahulu
terlajak kata kuundurkan perahu
ada yang bengang ada yang berbulu
lantaklah aku buat tak tahu.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
14/01/2015.

Lecak


Air mata menyejat
tinggal hati yang lecak
renung dahsyatnya landskap
hasilan tangan-tangan keparat
yang buta tuli menjarah.


Kepiluan ini
dalamnya menikam asa
bukan kepalang buat mengangkat muka
terbeban dek amukan alam ternoda
natijah tak terjangka.


Insaflah
alam itu bernyawa
responsifnya tak terduga.


CNM, 13/1/15

Tuesday, 13 January 2015

MONOLOG PENGAKUAN PENCURI


"Ya Tuan Hakim
saya mengaku bersalah
kerana mencuri
di sebuah gedung membeli belah
yang terkaya di kota metropolisetan ini
dan mensedekahkan hasil pencurian saya
kepada rumah anak-anak yatim... ,"

"Saya juga faham
akan hukuman yang dijatuhkan
dan saya tidak akan membuat sebarang rayuan
kerana saya sedar
dosa tidak menghalalkan cara,
mencuri tetap mencuri."

"Tidak seperti wanita (peminat K-POP)
yang merelakan tubuhnya dipeluk, dikucup
oleh artis K-POP yang nyata bukan muhrim mereka
secara terang-terangan dan berbangga pula
kerana ada yang masih mempertahankan mereka,
walaupun yang haram tidak menghalalkan cara."

"Saya mengaku bersalah yang arif."

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
13/01/2015.

SELAMAT BERADU


DAN INGATLAH


Baru dipeluk belum disetubuh
baru dikucup di dahi belum dicemolot di mulut
baru dirangkul tubuh belum dinoda dara.

Haruskah kita melihat dan berdiam sahaja
dan membiarkan kemungkaran di hadapan mata?

'Dan ingatlah, selemah-lemah iman
adalah yang hanya mampu mencemuh di hati
tidak mampu menegah dengan tangan
(tenaga)'

Ingatlah juga
bala Allah tidak hanya datang kepada perlakunya
juga tidak hanya datang kepada pencemuhnya
bala-Nya datang tidak mengira siapa.

Allah telah memberikan peringatan kepada kita
akan kisah bahtera Nabi Noh dan kaum Nabi Luth
yang mungkar.

Beringatlah... .

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
13/01/2015.

Sunday, 4 January 2015

PADA RAUT WAJAH


SUARA TENGKUJUH


Dini hari kemuncak
segerak mengikut rentak
dingin kabus berarak
embun selerak.

Suara-suara sang katak
serak gema serentak
enak berselimut nyenyak
insan terkujur nazak.

Tengkujuh masih berantak.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
04/01/2015.

TAKUT BUKAN GAYAT


Aku takut mendaki
puncak tangga tertinggi
hari demi hari
tangga kudaki semakin meninggi
tidak mahu berhenti
di langkahan kaki.

Aku tidak gayat
mendaki tangga-tangga hayat
cuma aku takut melihat
kubur semakin dekat
sedangkan maksiat
leka aku buat.

Semakin lama semakin bertongkat.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
03/01/2015.

BUIH-BUIH DI LAUT


Saturday, 3 January 2015

PANGGILAN KECUNDANG


Pagi ini terasa panjang
masa bergerak bagai terhalang
mentari menjulang
bahang mula terhidang.

Di bangku sememangnya dah usang
aku termenung sungguh panjang
telipon tangan berdering ulang
panggilan dari orang tersayang.

Katanya:
"Abang, ayang tak sanggup siang
terasa amat sayang
perak kecundang
mata mengalir, ayang memandang... ."

Hatiku memberontak datang
ingin segera aku pulang
ke teratak berkasih sayang
menyiang si perak kecundang.

Oh! Si perak yang kecundang.
Oh! Si perak yang kecundang.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
03/01/2015.