Recent Posts

Saturday, 25 October 2014

SERUAN HIJRAH


Masa lalu terus memburu
lelah diriku di bangku waktu
mencari aku di dalamnya aku
di mana aku ke mana aku?

Semalam terlena dibuai asmara
terhibur rasa di jendela sukma
mencari makna di dakapan masa
mungkin minda membelai rasa.

Tersedar sendiri melihat diri
lamunan sepi di alam fantasi
menjamah besi kawad berduri
di sela api menjulang mimpi.

Kini kutahu siapa diriku
di batas waktu sedang keliru
bertongkat dagu bersama sendu
lazuardi berbatu nilam di kalbu

hijrah berseru.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
25/10/2014.

TAJAM


Kata-kata pertamamu
tidak dapat menyentuhi hatiku
tumpul matanya
aku masih dapat bernafas
walaupun pedih
ya!... pedihnya memang terasa
aku akui

namun... ,

kata-kata keduamu itu
benar-benar menerjah jantungku
tepat
dari ketajaman mata pisaunya
terbenam di urat pipih
cetera jantung
di dadaku.

Kini
aku terdiam
mengatur nafas
dalam kejutan
bicara kejam
berbisa
dan amat tajam.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
25/10/2014.

BULU-BULU DI ATAS MEJA


Bulu-bulu di atas meja
berserakan bagai rumput dipotong
melekat kejap di kaki seluar
menyapu jalan.

Bulu yang ada bukan dipotong
tapi dicabut satu persatu
rambut gondol malu nak hidup
nikmat agaknya.

Bulu yang ini kalau diperhalusi
seharian ceritapun tak akan habis
jumpa dek kementerian kesihatan
sahih, tak cukup makan.

Bulu yang ini bulu bertuba
diterbang dek angin melayang tunasnya
masuk makanan bercambah sengketa
pelanggan melihat terkulat biji mata.

Ya Sheikh, ini tempat orang meniaga
jangan bikin dajal; pengotor
duduk lama-lama tiada siapa menghalau
menabur tuba bencana jadinya.

Mahu bantal sama selimut-kah?

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
25/10/2014.

CINTAKU UNTUKMU


Wajahmu itu bagai berlagu
kisah di kalbu penuh syahdu
duri semalu mencucuk pilu
lara menggaru berselubung sendu.

Bukalah pintu dari hatimu
kulihat lencun dibasahi hujan
kutitip mentari kering kembali
berbara api di kamar cinta.

Berhembuslah bayu kuat menderu
membawa bersama lara hatimu
meneroka sukma langit angkasa
berpelangi jiwa menutup lara.

Hadirnya aku di hadapan matamu
bertongkat bara membakar lara
debu berabu berselerak pergi
berganti janji cintaku untukmu.

Cintaku untukmu... .

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
25/10/2014.

Friday, 24 October 2014

MALAM BERPISAH


Aku tersenyum memandang malam
tapi malam tidak sudi menatap wajahku
mungkin malam juga mengerti
perpisahan ini bersifat kekal abadi
perpisahan yang tidak akan bertemu lagi
tidak akan kembali lagi.

Tanpa senyuman bekalan diberi
perginya malam tinggalkan aku bersendiri
dan dari kibasan hujung pelepahnya
berserakan hama sendu - rindu
dalam doa penutup dan pembukaan
malam yang baru.

Malam terakhir Tahun 1435 hijrah.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
23/10/2014.

BERPESAN KEPADA DIRI SENDIRI


Mata berkerak bagaikan berduri
kaki melunjur segaknya di atas kerusi
pagi ini gagak main sembunyi-sembunyi
diam bebiri gambarannya aku beri

melawan mata bukan kerana terpaksa
ekonomi keluarga harus sentiasa diperkasa
itu tanggungjawab seorang khalifah keluarga
harus dipasung malas yang menerpa

dua biji panadol sarapan tambahan
semoga kembah berdatanglah kekuatan
hari yang panjang jauh terbentang ukuran
duri penghasut cabutlah dengan tangan

sebelum duri bertawaf di hati.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
24/10/2014.

Thursday, 23 October 2014

Gedung Harian


I/Di Toko Jiwa

Aku melihat
aku membaca
aku menghayati
aku menafsir
aku menghadam
tidak membeli.

II/Di Bazar Rasa

Aku menyusur
aku mencari
aku menghidu
aku mendekati
aku mengira
tidak membeli.

III/Di Pustaka Hati

Aku mengarang
aku meramal
aku mengatur
aku menjilid
aku menjual
tidak membeli.

Kuhimpunkan dalam gedung harianku.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
23/10/2014.

ALIF, BA DAN TA


Aku tulis alif
alif itu adalah aku
aku tulis ba
berkenaan akal dan ilhamku
dan ta
tentang pendirianku
yang tidak selalunya benar
perlukan bimbingan
namun berpegang kepada prinsip
berani kerana benar
takut pula kerana salah
di situ berdirinya
alif
ba
dan ta
seorang aku
sering kali tersindir.

Ini bukan permainan syair.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
23/10/2014.

SEKELUMIT RASA


KISAH DI TENGAH HARI


Berbinar-binar
bersinar-sinar
berkunang-kunang
berkelip-kelip
ber­kilau-kilau
berpendar-pendar
berbintang-bintang
kelihatan
penglihatan
pandangan
air
bumi
dan mata
di tengah nan hari.

Di meja, bantal tiada.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
23/10/2014.

PUSTAKA


Aku mengarang
aku meramal
aku mengatur
aku menjilid
aku menjual
tidak membeli.

Di pustaka hati.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
23/10/2014.

BAZAR


Aku menyusur
aku mencari
aku menghidu
aku mendekati
aku mengira
tidak membeli.

Di bazar rasa.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
23/10/2014.

TOKO


Aku melihat
aku membaca
aku menghayati
aku menafsir
aku menghadam
tidak membeli.

Di toko jiwa.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
23/10/2014.

Wednesday, 22 October 2014

FIKIRAN FAKIR II


Aku tahu
aku tak pandai
ilmu dituai
cukup makan pakai
serabai.

Aku tahu
aku tak cerdik
akal cetek
otak daun keledek
pendek-pendek.

Aku tahu
aku memang bodoh
akal hodoh
dipenuhi doh
: contoh!

Kini aku berfikir.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
22/10/2014.

MENANTI YB


Bunga manggar pacak di hulu
kawasan rumah cantik terjamu
rumput usah dibiar bersemalu
itulah pesan Datuk Penghulu
buat menyambut tetamu yang lalu.

Anak muda bermain kompang
kemas pakaian batik berlambang
terjenguk-jenguk lehernya panjang
tak sabar menunggu tuan yang datang
tetamu besar bukan sembarang.

Mercedes E200 menjulur henti
sekilas kasut silau meniti
Datuk Penghulu mengah berlari
kompang dipalu isyarat diberi
mengalu kedatangan YB Menteri.

Sambil melihat indah pandangan
senyuman dilempar tanda berkenan
kepada Penghulu tangan bersalaman
pipi bergesel bagai kucupan
sambil berbisik "cukup ke peruntukan?"

Kepada orang kampung engkau lagukan
berkat muafakat kampung contoh dianugerahkan
sebagai penghargaan usaha dilakukan
semoga kampung cantik akan berkekalan
dapat anugerah lagi tahun hadapan.

Ya-lah jumpa lagi di tahun hadapan.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
22/10/2014.

Sang Kucing Tidur


Ekor terkodek liang meliuk
Badan terlentang kaki terkangkang
Lelah hembusan dengus mendebus
Kasihan nyenyaknya
Comel terlena
Berpangku balduan si baju adinda
Hendak dimarah salahnya tiada
Si haiwan jelmaan akalnya tiada
Waima bodohnya minda manusia
Pakaian ditapuk di lantai sahaja
Begitulah alpa si cetek hamba
Banyak agenda belumpun sempurna
Yang haram juga ingin dicubanya
Dibilang bodoh marah pekiknya
Dicela barbarian teruk menyinga
Maaflah bukan mengata
Memang bodoh baghallah pula
Imbuhan ter... pun belum belajar ka?...


Hihiiii ct espie bengang memikirkannya
221014

UBAH SUAI


Mencari sudut bisu
bagi menggambarkan kata 'makeover'
yang beristilah ubah rupa
dari kejadian asal ke bentuk baru
aku guna pakaikan di sini
sebagai ubah suai.

Rambut berwarna hitam
diubah suai ke perang muda
kononnya mengikut peredaran zaman
tidak mahu ketinggalan
bas.

Wajah yang kurang ayu
pabila ber'selfie dicerahkan seboleh-bolehnya
namun diajak bersua, dikatakan pula
"Tapi, kulit saya tidak secerah dalam gambar"
kata iklanlah.

Itu baru dua contoh
masih banyak jika aku nak sentuh
namun yang paling aku rasa tak senonoh
program anjing untuk disentuh
hukum agama mahu dilanggar, diceroboh
ubah suai menyeluruh.

Habis semuanya nak diubah suai
aduhai... .

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
22/10/2014.

SENJATA MAKAN TUAN


Tabik spring aku hulurkan
kepada Mark Zuckerberg aku berikan
facebook yang direkakan
menjadi alat kepada satu perjuangan.

Sebagai modem untuk mengingatkan
bagai senjata memakan tuan
segala isu lapuk dek debuan harian
kembali berbangkit pabila butang suka ditekankan.

Dalam wadah ingat mengingatkan
umat Islam yang kelekaan
terlena dalam maya keasyikan
dakyah musuh Islam secara sulit bertebaran.

Senjata yahudi kini rakus mengunyah tuan.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
22/10/2014.

GURINDAM RINGKAS BERANGKAI: Pendinding Ummah.


Pandang dengan mata akal,
usah pandang dengan mata dangkal

yang remeh harus dipandang,
yang temeh wajib dikenang

agar tiada lubang tikus,
membawa bermacam jenis virus

baru perkasa perpaduan ummah,
dalam satu ikatan ramah.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
22/10/2014.

NIKMAT


Aku meniarap
jejari leka mengusap
punggung berkurap
sedap
mengenyam rayap.

Mata kian gelap
pandangan semakin malap
mulut ternguap
sangap
nikmat menggaru kurap.

Pintu mimpi pun terbuka.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
21/10/2014.

RINDU 76


Tuesday, 21 October 2014

HUJAN LEBAT


Aku lihat, camar di laut
aku lihat, enggang di hutan
aku lihat, helang di bukit
aku lihat, bangau di bendang
aku berselimut lencun.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
21/10/2014.

HUJAN PANAS


Aku lihat, ulat di sampah
aku lihat, kumbang di ranting
aku lihat, belalang di lalang
aku lihat, cacing di tanah
aku hangat dalam kebasahan.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
21/10/2014.

HUJAN GERIMIS


Aku lihat, pipit di alang
aku lihat, gagak di dahan
aku lihat, merpati di bumbung
aku lihat, lelayang di awan
aku di tanah lapang.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
21/10/2014.

Monday, 20 October 2014

AKU SI BURUNG PIPIT


Aku-lah si pipit kesunyian
terbang bersendirian di dada malam
tanpa cahaya menemani penerbanganku
sering tersandung dedahan pokok
adakalanya terlanggar bumbung bangunan.

Pabila terlanggar aku menyapa
"Wahai pokok kenapa berdiam?
Tahulah aku, kamu bersusuk agam
tidak mahukah kamu
kita berjalan sambil bergenggam tangan?"

: Namun pokok tetap berdiam
aku pun terbang.

Kepada bumbung aku pula bertanya
"Wahai bumbung kenapa tinggi letaknya kamu?
Telah aku rasakan tadi
terbangan aku menggapai awan
namun kenapa, kamu lebih tinggi tersergam?"

: Namun bumbung seperti pokok
hanya diam membisu.

Akupun terbang lebih tinggi
sehingga lelah sayapku berkibas
akhirnya tersungkur
jatuh ke tanah berlumpur
sayapku hancur.

Baru kusedar
aku hanya seekor pipit
bukannya belatuk si pengadu domba
bercakap besar
berhati kecut.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
20/10/2014.

BELUM JADI LAGI


Nyamuk mengiang-ngiang
main tepi telinga
longkang memang tersumbat
ahhh! Biarkan.
Belum ada denggi lagi.

Ular menyusup akar
melungsur celahan lopak
berhenti bawah reban
: ahhh! Biarkan.
Belum masuk reban lagi.

Harimau masuk kampung
mengaum sungguh kuat
berhenti tepi kandang
: ahhhh! Biarkan.
Belum masuk kandang lagi.

Anak gadis pegang anjing
atas nama sebuah program
tangan menadah beri makan
: ahhh! Biarkan.
Belum menjilat lidah lagi.

Babi keluar hutan
merengus taring di hidung
menyondol tiang pagar
: ahhh! Biarkan.
Belum masuk pagar lagi.

Eiii! Gelilah
baik tutupkan sahaja mata
: cantik
tersangatlah cantik.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
20/10/2014.

AKU CARI


HUJAN DI TENGAH HARI


Pagi tadi
petir dan guruh berdentum
dan mentari bersinar
sehangat bahang yang termampu
mencubit dan membakar
rerumput di tepian padang
namun
aku masih mampu tertunduk
tersenyum.


Tengah hari ini
tiada petir berkata-kata
tiada guruh berdentam-dentum
dan bahang mentari masih terasa
langitpun runtuh
tiba-tiba
membawa ketidakselesaan
rimas
dan lemas di kepala.


Payung tiada.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
20/10/2014.

PETIR DI SIANG HARI


Berkatalah petir
bersama dentuman guruh
Zasss... Gedeguuum...
di tepi padang
rumput berasap, terbakar.

Matahari menjeling
melimpahkan cahaya
bahang mencubit
menyemarakkan lagi
bakaran.

Aku tertunduk senyum.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
20/10/2014.

PANTUN: GAMBARAN HATI


Sungguh indah bebunga kembang,
harum mewangi merisik taman;
Sungguh lumrah belanga sembang,
dentum setanggi merecik kuman.

Dedaun liar beresam jurai,
bagaikan akar mengikat pokok;
Santun sukar anyam kelarai,
salahkan tikar bersukat songkok.

Tambat rusa dalam pedati
menyanyi dondang mereda rana;
Penat rasa di dalam hati,
sunyi bergendang tiada makna.

Kerana selisih tirana siluman,
arus terhenti di tasik nyonya;
Di mana kasih di mana teman?
Terus di hati asyik bertanya.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
20/10/2014.

Kelarai =
1. corak (anyaman, tenunan, dan lain-lain) yang berbentuk damdam;
2. Menenun simpul di tepi anyaman.
Rana = merana
Tirana = tarian andalusia
Siluman = orang halus, orang bunian.



KASIH


Sunday, 19 October 2014

BAJI DARI ORIGAMI


Aku biarkan kertas melayang
di dada bidang Ahad sepetang
bermain alusi tanpa ilusi
bersama abjad melambangkan hati
kerana fantasi dan juga imaginasi
tertewas sudah di tangan realiti
tiada lagi magis origami
untuk kucipta sebuah baji
buat membelah kebosanan ini.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
19/10/2014.

MENJERANG OKTOBER


Sehangat mentari Korea
tidak sehangat mentari Malaysia
di saat ini.

Bahang terasa membakar
kulit-kulit kekeringan
kelupas.

Bernafas jelaga debu
jerebu menunggang bayu
sempadan dirompak.

Sesak berasak-asak
sebu menambah rabak
dada berkerak.

Oktober semakin terjerang.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
19/10/2014.

Menyimpul Bicara


SEJUK


Assalamualaikum
selamat pagi
angkat tangan kanan
sederap bunyi
tolak dada kiri ke depan
sederap lagi bunyi
pusing ke kanan-kiri pinggang
berderap-derap bunyi
masuk bilik air
colet mata kanan dan kiri
gosok gigi basuh kaki.

Cukuplah untuk pagi ini.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
19/10/2014.

AMUKAN BAHASA


Aku ingin cipta sebuah amukan
menggunakan warna dari bahasa
seperti amukan di lukisan bapak
mencarik-carik warna coklat
membaling-baling warna merah
melempar-lempar warna biru
menenyeh-nenyeh warna kuning
menyembur-nyembur warna hijau
mengirai-ngirai warna oren
tanpa palet di telapak tangan
tanpa berus di celahan jari
hanya mencampak mengguna kaki
sedikit dari warnanya putih
digesel hitam siku kelebaman
dan ungu turut mencarut
di lukisan bahasa.

Dan aku gantung di dinding pameran
pabila kering rasa amarah
untuk dijamu mata memandang.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
19/10/2014.

Saturday, 18 October 2014

JARINGAN LAWAN JARING


Bola menerjah jaring
tendangan kencang dari luar petak gol
tapi... ,
eh!
Mana pulak datangnya jaring lagi satu ni?
Pengadil membatalkan jaringan tersebut
jaringan mencecah jaring tak sah
dia berjalan perlahan ke tepi padang
sambil mengeluarkan kad merah
dilayangkan kepada nelayan
yang menebarkan jaring
di padang bola.

Permainan tergendala sebentar
'Switch-off 14'.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
18/10/2014.

CAMPUR TAK CAMPUR


Minyak dengan air
bercampur satu balang
berlainan unsur
larut
tapi tidak bercampur.

Anjing dan kucing
tinggal satu sangkar
makan satu tempat
tapi berak berasingan
tidak bercampur.

Era perang dingin
Rusia dan Amerika
tunjuk senjata nuklear
gertak sini gertak sana
lagi tak boleh campur.

Roti canai berkuah
dalam satu pinggan
banjir melimpah
kembang dan bercampur
tang tu aku suka campur.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
18/10/2014.

Retorik Wajah


GURINDAM KERJA ITU IBADAH


Bismillah pembuka acara,
gurindam ini memulakan bicara.

Salam ke atas Nabi junjungan,
gurindam ini sekadar renungan.

Assalamualaikum kepada sahabat pembaca,
gurindam ini bukan berhukum cerca.

Allhamdulillah tangan menadah,
gurindam ini berbicara kerja itu ibadah.

Telah dilihat dengan mata kepala,
ramai siswazah tak tahu mana nak mula.

Di zaman perlumbaan menjadi raja,
bukan masanya untuk duduk bersahaja.

Yang miskin juga yang kaya,
harus berusaha sedaya yang upaya.

Tiada berijazah sijil diperaga,
carilah kerja untuk bantu keluarga.

Dalam berusaha doa juga harus dipohon,
kerja tak pernah menunggu pemohon.

Kalau tak dapat kerja mulakanlah menjaja,
usah menunggu panggilan kerja.

Usaha perlu digalaskan ke raga,
kerja tak dapat mulakanlah berniaga.

Biar berpeluh biarlah berdaki,
jangan bermalas duduk menggoyang kaki.

Untuk hidup kita harus bertarung,
nasihat ini untuk para suami pelepak warung.

Secupak tidak akan jadi segantang,
bukan menambah wang tapi menambah hutang.

Si isteri bertungkus lumus mencari wang,
si suami bertungkus lumus menghabiskan wang.

Pabila dikata mulalah bersuara lantang,
tapi minum kopi memang dari pagi ke petang.

Tengok dan pandang pada daun pandan,
sebagai ketua keluarga tunjukkanlah teladan.

Perangai tak baik buangkan ke sungai
agar si anak tidak terikut perangai.

Tundukkan kepala dahi di sejadah,
kerja itu-kan satu ibadah.

Janganlah pula ada hati berbara,
cukuplah di sini gurindam bersuara.

Segala yang baik datang dari Allah,
yang terasa di hati aku mohon dimaafkanlah.

Anak cina memakai sepatu,
berjumpa lagi di lain waktu.

Assalamualaikum penutup bicara,
aku berkata bukannya berkira.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
18/10/2014.

HARI TERAKHIR


SI KUMBANG JATI BERHATI LARA


Tiung dan gagak di dahan pokok
kepak menari mata memerhati
si kumbang jati sedang meniti
dahanan mati.

Malam semalam hujan bersiram
basahkan ranting-kekulit pokok
tunas berdegil enggan bercambah
menjadi payung; sarang.

Kian terbuka sarang berlubang
air meresap masuk dan bertakung
kian terampang menjadi bah
tidak tertumpah.

Di dahan basah si kumbang resah
gundah dan gelisah.

Di ranting harap, meniti hari waspada
tanpa bersuara.

Mengharap mentari datang menyimbah
penyelamat waris dari... ,

si tiung bisu
si gagak bisu
alam lesu
menanti korban.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
18/10/2014.

BOLING


Boling
bola dibaling
berguling-guling
berpusing bak gasing.


Boling
bukannya bola baling
atau bola jaring
permainan memasukkan bola ke jaring.


Boling
tidak semua boleh membaling
tersalah baling
masuk longkang di samping.


Boling
petang ini ada yang masuk bertanding
semoga dapat membaling
mengutip mata yang penting.


Dan mendapat kejuaraan dipertanding
'go adik go'.


Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
17/10/2014.

Retorik Wajah


i
Dalam indah lontaran kata
mulusnya bicara
tersemat agenda perkuda
perdaya
mengena tanpa takut dosa.


ii
Dalam lurus tingkah di mata
tertib langkah diperaga
tersembunyi sandiwara
mengaburi jiwa
licik menyelumbar bisa.


iii
Retorik wajah
kian galak mencelah
lupa rakaman Allah
setiap satu akan didedah
di hadapan-Nya tiada helah.


CNM, 17/10/14

Monday, 13 October 2014

RINDU 75


SERPIHAN KENANGAN


Hipokrit


Pemimpin
main politik
hipokrit.


Menunjuk contoh tak baik
menyokong 'Oktoberfest'
yang kesannya ternyata
membawa kemudaratan.


Baik pemimpin kerajaan
mahupun pembangkang
agenda jelas terbayang
One Utama
Jonker Walk
dijadikan gelanggang.


Halang
sebelum syaitan bertepuk tangan.


CNM

BULAN BAHASA KEBANGAAAN


Dengar itu ada suara
pungguk bermadah bicara
rembulan berkias bahasa
agung junjung citra.

Bulan tetap rembulan
bahasa terus berbahasa
bulan bahasa kebangaan
megah budaya bangsa.

Budayawan, sasterawan dan ilmuan
bersatu pelamin sandingan
kecintaan bahasa wawasan
santun tamadun warisan.

Bahasa Melayu menyuluh jiwa
bersinar cahaya bak permata
berkilau dian perbendaharaan kata
kaya martabat satu bahasa.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
13/10/2014.

Sunday, 12 October 2014

APA TU BANG?


Kembang kuncup kuncup kembang
apa tu bang?
Sendawa abang.

Senyum.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
12/10/2014.

MINGGU BAHASA KEBANGSAAN


... kesian.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
12/10/2014.




AKU INGIN BERJIMAT


Di neka bahasa
aku ingin jimat berbelanja
mencipta citra berharga
menatang kosa kata.

Ranggi tubuh badan
sombong dan lokek ucapan
teka-kata berkerudung kesamaran
bicara berlapisan.

Tapi aku tak pandai
menabur si bunga rampai
di tapal bidai
kosa kata tetap terburai.

Bagaimana untuk berjimat
membeli kosa kata hikmat
mewariskan wasiat kesumat
sebagai warisan keramat.

Aku berseragam sekolah.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
12/10/2014.

HILANG DI BATAS


Ribut cinta berlari sepetang
gelora kasih menggunung datang
pantai rindu minyak menyimbah
pawaka hati terpadam sudah.

Semalam tidur tak lena
semalam mandi tak basah
semalam serba tak kena
semalam fikiran resah.

Hari ini kupadam hasrat
kutulis hajat di dalam dakwat
semalam jadi pengajaran
kebodohan sebuah kesetiaan.

Hilanglah aku dari batas kerinduan.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
12/10/2014.

KATA PROF


"Beri peluang kepada sahabat menunjuk bakat... ."

Kataku " Ayuh sahabat, peluang bukan senang nak dapat. Ambillah untuk mencurah dan mengasah bakat."

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
12/10/2014.

HARI SEORANG AKU


Bangun pagi
gosok gigi
buang daki
di mata

lepas mandi
pergi kerja
buka komputer
di riba.

Masa kerja
buang masa
layan puisi
aku suka

bukan radio
dibuka
lagu cinta
kurang suka.

Waktu makan
balik rumah
menamani
anak-anak

kadang memasak
ala kadar
kalau orang rumahku
berkerja.

Balik kerja
tengok anak
kerja sekolah
dibuka

kalau ada
bantu mereka
kalau tiada
aku membuta.

Esok pagi
benda sama
berulang-ulang
lakunya

begitulah kira-kiranya
kehidupan seharian
seorang aku
tiada istimewa nak kucerita.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
12/10/2014.

JIWA PUISI


Siapa kata berpuisi itu mudah?
Puisi itu seumpama mengunyah kuaci
mudah dikupas kulitnya dan dinikmati isinya.

Salah! Berpuisi tidak semudah disangka-sangkakan.

Puisi harus ada kepala
baru pembaca dapat melihat wajahnya
kacak ataupun cantik
kerana itu pemuisinya sentiasa pecah kepala
untuk menghasilkan tajuk yang sempurna.

Puisi harus ada pakaian
baru pembaca dapat melihat keindahan
segaknya tubuh badan
sebab itu pemuisinya tidak membogelkan diri
bercokin dan berlenggeng.

Puisi harus ada jiwa dan semangat
baru pembaca dapat menyelami apa dihasrat
dibicara dan dinikmat
intipatinya yang menyengat
sebab itu pemuisinya sentiasa bergelumang
fantasi dan realiti di alam mimpi.

Puisi harus ada kaki
untuk menunjukkan jejak yang telah bertapak
buat menunjukkan yang si pemuisi
sirius dalam penciptaan
bukan hanya satu permainan.

Puisi harus memegang bunga
diksi yang kepelbagaian warna dan corak
baru pembaca dapat mencambahkan tunas
imaginasi yang hidup di dalam minda
sebab itu pemuisinya sentiasa nampak gila
... gila-gila dalam berbahasa.

Puisi seharusnya kaya gaya bahasa
baru akan dinikmati manisan
oleh pembaca dan pengkritiknya
sebab itu pemuisi seharusnya kaya tidak miskin
dalam perbendaharaan kata.

Puisi memang tidak mudah dicipta
atau semudah menulis a.b.c
malah aku menyangkal jika ada yang mengatakan
mencipta puisi hanya sekadar suka-suka
hanya untuk kepuasan diri
kerana akan menangislah para pemuisi
yang bergantung hidup dengan menulis puisi
kerana penulisan puisi adalah satu cabang
mencari makan menyara kehidupan.

Sebab itu puisi harus berjiwa dan dijiwai.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
12/10/2014.

Saturday, 11 October 2014

LEBUH CINTA


Kutatap ngeri
tika kekalutan menghampiri
ratapan jiwa

malam masih muda
neon gemerlap
namun lebuh cinta
kian mati
perjalanan sunyi

di mana-kan kucari
kata-kata secantik bahasa
untuk kugambarkan
betapa bengangnya hati
kereta mati di persimpangan sepi

aku berjalan di lebuh cinta
membawa hati yang berkecamuk
mengharap perjalananku ini
tidak berjumpa momok.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
11/10/2014.

#haiga54


BELANJA CIK WAN


Tiada gading
tanduk bersanding
tiada cucur
cukuplah cekur
buat mengunyah
menahan mengah
alas perut
tidak mencarut
jangan lapar
bukan celupar.

Membeli ikut kemampuan
bukan membeli ikut kemahuan
jadi pengguna gunakan akal
jangan diikut nafsu sejengkal
pilih yang perlu
jangan mengambil melulu
yang dipesan; belanja berhemah
yang berpesan; belanjanya mewah.

Contoh biar melalui teladan
bukan memberi contoh perut ke depan.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
11/10/2014.

REZEKI RAKYAT


Belut meliuk kubawa pulang
ditangguk dari lubuk di bendang
rezeki secupak walau bukan segantang
tidak berjoran hanya berserampang

berjimat duit walau sekupang
anak ke sekolah perut berselempang
pulang nanti lauk terhidang
ayah katakan keli Mak Anjang

cukuplah menggalas perut berdendang
rezeki yang ada kita berdondang
kaisnya pagi makannya petang
bumi Allah luas terbentang.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
11/10/2014.

PENCACAI BERPAKAIAN SERAGAM


Untungnya jadi penjawat awam
ada bonus kenaikan juga seragam
terpelihara masa hadapan pencen beragam
syukur disembah senyum tak masam

hanya aku berhati suram
ada luka harus diperam
seorang pekerja berpakaian seragam
bonus tiada kenaikan juga haram

makan nasi tertumpah garam.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
11/10/2014.

KASIH 20


RASA


Bicara rindu
tidak terucap
tidak terlihat
tapi dirasa
dapat dihayati
dalam raga
dalam jiwa
hanya debar
rasa getar
biar mata
dan tawa
yang bicara
apa ada
dalam dada.


nukilanhati
~sue~
081014

Thursday, 9 October 2014

KONGSI GELAP


Engkau minum arak,
kami makan berak.

Engkau jual dadah,
kami tanggung padah.

Engkau laku jenayah,
kami hilang ayah.

Engkau ketawa berdekah,
kami minta sedekah.

Engkau lempar bom
kami pegang halkum
arak merah mengalir atas jalan
bau hanyir; arak siapa?

Kami terpaksa menghadam
walau tidak mengidam
kongsi kegelapan
kongsi juga kehidupan.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
09/10/2014.

SAJAK TIGA BARIS II


Aku memegang penimbang

aku sedang menimbang

haruskah aku menimbang penimbang.


Sazalee Sulaiman

Nilai, Negeri Sembilan

08/10/2014.


Tuesday, 7 October 2014

TAMAKKAH AKU?


Hasrat ingin menjadi burung
mempunyai sayap bebas
terbang ke mana sahaja mahuku
melintasi sempadan, benua dan lautan
hinggap di dahan rendang
sanggup menerima tenggekan aku
pun membina sarang perindu
istimewa untuk aku
sebagai dewa bersayap bebas
di kalbu.

Membenihkan mani tulisanku.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
07/10/2014.

TERLEPAS PANDANG


Aku terlepas pandang
tingkap yang mulanya belum dibuka
kini terkangkang kuaknya
yang mampu kulihat
sekelibat tubuh berkemban
berlalu meninggalkan tingkap

tanpa sepatah ucap
mendatangkan rugi tidak terungkap
terlopong dan terkulat kudap
terpaksalah aku mulakan kembali perangkap
dalam mulut ternguap
sangap.

Aku menyusun rangkap.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
07/10/2014.

LOPAK DAN DEBU


Betapa hanyirnya lopak itu
lumpur dan tanah bersatu
berlendir buih - meletus dan berbau
keras dikeringkan waktu
mencipta debu.

Hanyir sungguh lopak itu
rimas aku di lumpur keras kematu
debu-debu melayang dari kakiku
kerbau-kerbau ralit memandangku
sedang menepuk debu.

Telah kutahu natijah itu
kesannya pasti datang dan bertamu
lumpur yang telah membeku
ditiup angin menderu, melayanglah debu
tidak diperlu; sepertinya aku.

Kataku "Biarlah, lopak itu bukan tempatku"

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
07/10/2014.

Monday, 6 October 2014

RASIONAL


Kukutip sisa semalam
masih segar dalam ingatan
terdiam dalam renungan
di bibir menguntum senyum
yang mulanya tawar.

Berfikir mengerut dahi
jelas garisan lakar
dalam suasana hambar
hati yang semalam terbakar
embun memadam api.

Kini senyuman terukir
seakan mula mengejek
betapa ceteknya fikiran
dugaan semalam pasti berlalu
jika mampu bersabar.

Seandainya semalam mampu kembali
akan kukucup ubun berbara api
membisik rasionalnya hati
amarah seharusnya diperam
seperti telur di kamar eram.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
06/10/2014.

TEORI EKOR DAN NAJIS


Bom turun bendera naik
satu contoh kronologi yang baik
seekor lembu membuang hajat
pencetus idea ilham menarik.

Jalan kampung jalan bandar
tidak dikira kemahuannya bundar
kalau ekor dah mula naik
nak turunkan balik amatlah sukar.

Dalam kandang baunya pekat
menusuk hidung tidak tersumbat
waktu pagi bayu membuai
satu kampung aromanya sampai.

Sama juga resminya ayam
cantiknya lawi ramai mengidam
mahu diulit mahu dibelai
sampai terlupa ada najis terperam.

Jari dicium bau semerbak
mendatangkan marah ingin menyepak
ayam tak salah menjadi mangsa
salahnya sendiri mata tak nampak.

Dalam bicara ada bahasa
dalam bersahaja ada maksudnya
gunakan akal untuk menterjemah
dalam rubai berselindung kata.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
06/10/2014.

Sunday, 5 October 2014

DAGING KORBAN


Ramai orang beratur panjang
menunggu waktu untuk membawa pulang
daging korban yang telah terhidang
berbungkus-bungkus di dalam dulang.

Satu kawasan agihan diserahkan
semua penduduk wajah kegembiraan
termasuk juga pendatang pekerjaan
diberi kupon untuk mendapat bahagian.

Tak apalah, mungkin bukan rezekinya aku
kerana Allah tahu aku mampu
menyediakan daging untuk keluargaku
cuma bukan daging korban tapi daging beku.

Sabarlah wahai anak-anakku.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
05/10/2014.

#‎haiga53‬


SEBUAH PENGORBANAN


'HALLO-HALLO-HALLO-LO-LO-LO'

Fuh-yo! Dasyat
bergema muka-buku
bagaikan padang jarak padang terkukur
di pagi Aidiladha ini
ketika aku terpacak berseorangan
merenung meja
kerusi
dan bangunan sepi
jarum jam di dinding melenggang
tik-tik-tik
pusingnya berdendang.

Tetapi!
...apa yang kufikirkan trafiknya lengang
jalur lebar lancar menerawang
dek kerana masing-masing sibuk makan lemang
melapah dan merewang
daging korban yang terhidang
di madrasah, surau dan tanah lapang
rupanya hanya satu harapan kecundang
jalur lebar bagaikan siput-kerang
lancarnya terhalang
mendatangkan sendu di dada bidang.

Aduhai!
Salam Aidiladha dariku di meja bersawang
duduk seorang.

"Hallo-hallo...ada orang tak ni?
Beraya jangan sampai lupa saya ya!"

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
05/10/2014.

Saturday, 4 October 2014

PANTUN AIDILADHA


Gema takbir di malam suci,
bersahut-sahutan kerincing hujan;
Rindu menggebu hati terkunci,
ke tanah suci hasrat memenjan.

Damai terasa jiwaku ini,
laungan takbir menatang sebu;
Sehangat hasrat membakar nurani,
sedingin rindu menyentuh kalbu.

Lembu diikat di batang pokok,
kambing pun turut diikat sama;
Amalan korban pahala bertokok,
sucikan diri sambil menderma.

Pintu Kaabah memanggil pandang,
kelambu Kaabah memanggil rindu;
Wangginya dapur berbau rendang,
riuh berlaga garpu dan sudu.

Di hari raya berpakaian sopan,
maaf bermaafan batin dan zahir;
Haji yang mabrur itu harapan,
semoga diterima rukun terakhir.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
04/10/2014.



BIARKAN SAJA


Biarkan
biarkan sahaja
aku cakap dah kan... ,
biarkan saja
biarkan-lah sahaja
si luncai terjun dengan labu-labunya
jangan bila nanti
timbul kesan
dia pula yang mengeluh
itu naik-lah
ini naik-lah
situ naik-lah
sana pun naik-lah
pendek kata... ,
dia yang kata ya!
Bukan aku yang kata ya!
Habis semua harga barang naik
sudah-lah ya!
Jadinya
biarkan saja
biarkan sahaja si luncai terjun
dengan labu-labunya.

Sekarang dia boleh kata tak kisah
belakang nanti, jangan pula dia yang resah
jadinya biarkan; biarkan
biarkan... .

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
04/10/2014.

WAJAH KELABU YANG BISU


ALASAN GAJAH NAIK MINYAK


Gajah sama gajah naik minyak
pelanduk yang kecil tersepit
di tengah-tengah
... di antara gajah denak dan gajah liar
rakus kenaikan minyaknya.

Nak buat macam mana
... dah nasib pelanduk
gajah tetap menikmati kenaikan minyak
pelanduk yang terpaksa membayar
harga yang tinggi.

Sabar je lah.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
04/10/2014.

JADILAH SEORANG MURSYID


Usah menyorok sambil menyumpit
di dalam semak kaki mengapit
berdepanlah dengan sasaran sambil menggigit
kerana pialanya ada di dahi, mata mengenyit
bukan di belakang kepala yang penyet
atau di bahagian yang paling sulit.

Jadilah Mursyid dada menyungkit
agar tiada cemuhan dibawa bangkit
elaklah bawaan resmi si afrit
sentiasa mencari helah berdecit-decit
mengajak anak Adam sesat di penara bukit
di bawahnya cerun teramat sempit.

Hidangan yang ada peria pahit dan air parit.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
04/10/2014.

#haiga52



Hari Arafah
umat Islam berpuasa
Imkanul Rukyah

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
04/10/2014.

DURI


Duri
menusuk jari
sakit tidak terperi
bisa mati
jika tidak dirawati.

Itu jika duri menusuk jari
seandainya tertusuk di hati
lagilah ngeri
membawa benci
selagi bisa meracuni.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
03/10/2014.

Friday, 3 October 2014

#Tanka2


DI SINI BARA MEMBARA


Di sini
punya kasih punya cinta
tersemat di jiwa hamba.

Di sini
punya sayang punya manja
terukir di hati hamba.

Di sini
punya rindu punya damba
terbelai di kalbu hamba.

Di sini
punya akal punya cita
membara.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
30/09/2014.

MONOLOG DUIT RAYA


I/
"Hek-eleh pak cik
takkan 20sen aje kot
kasi 'up' le sikit"

"Anak,
20sen boleh tambah duit isi minyak tau"

II/
"Hek-eleh pak cik
janganlah kedekut sangat
20sen mana cukup"

"Cukuplah tu anak-anak
kalu lebih nanti 'depa' marah"

III/
"Hek-eleh pak cik
20sen mana cukup zaman ni"

"Cukuplah tu
budak-budak tak boleh pegang duit besar"

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
02/10/2014.

BUDAYA KEHIDUPAN


Rambut sama hitam
hati lain-lain
cuka... ,
walau manis bagi kita
tapi masam bagi orang lain
gula... ,
walau diperlukan kita
tapi tidak diperlukan orang lain
minyak... ,
walau harganya berpatutan buat kita
mungkin tidak berpatutan buat orang lainnya.

Bersyukur itu pasrah
ikhlas itu payah
lain padang lain belalang
lain orang lain lapang.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
02/10/2014.

MAWAR NAN BERDURI


Mawar... ,
walau dirimu berduri
aku tidak peduli
biar durimu menusuk tubuhku ini
engkau tetap aku idami,

dan sekiranya ini suratan takdir
tersirat di lohmahfuz
engkau milikku yang abadi
biarlah... ,

biarlah banjir menenggelamkan bumi
dengan darah yang mengalir ini
aku relai
akan aku harungi
aku selami,

agar bisa kan menjadi penawar bersebati
di ranting yang akan menjadi kamar
dedaun menjadi gebar
berakar di setiap nafas yang aku lempar
menjadi tamar berdenyutan nadi.

Asal engkau mampu, aku miliki.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
02/10/2014.


GURINDAM HARGA MINYAK


Bukan kerana duapuluhsen kenaikan minyak,
sampai kerajaan hendak dilanyak

tapi apabila kenaikan harga diambil,
harga barangan di pasaran turut tak stabil

cuba fahami perkara ini dengan betul,
bukan membodohkan peluah rasa berketul-ketul

apabila subsidi diturunkan duapuluhsen,
harga jualan di stesen akan naik duapuluhsen

kos penghantaran barangan menggunakan minyak,
pengusaha penghantaran tidur tak nyenyak

duapuluhsen harga minyak yang naik,
secara tak langsung barangan pasaran akan naik

memang KPDNKK akan membuat pantauan,
tetapi pantauan membawa kerisauan

bolehkah pantauan dibuat secara berterusan,
apakah jaminan pantauan akan berkesan?

Bukalah telinga bukalah mindanya,
kerisauan pengguna ada benarnya

kalau satu tin sardin dinaikkan duapuluhsen,
satu kotak duapuluhempat tin jadinya berapa sen?

Itu baru satu barangan,
cubalah fikirkan harga lain barang dagangan

bukan mengkritik tiada asasnya,
tapi meluahkan apa yang dikata kesannya

jangan mencemuh secukup rasa,
cubalah menjadi orang yang bertimbang rasa

juga jangan pula nanti jadi bala,
yang mengutuk peluah rasa mengeluh pula.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
03/10/2014.

NAMA YANG BERSALASILAH


RINDU 74

LUAHAN RASA


CELARU