Recent Posts

Monday, 30 June 2014

Haiku


Bazar Ramadan
ramai orang berpusu
hidung menunjuk

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
30/06/2014.

SIAPA KITA?


Kita punya nama
diberikan oleh ibu-bapa
agar diguna
berbin dan berbinti
nama ayah.

Masa kita kecil
pabila jatuh
mereka akan menyambut
disapu ubat
agar cepat sembuh.

Pabila dewasa
akal dapat diguna
perlukah lagi
mereka menyapu ubat
pada luka.

Terfikirkah kita
sampai bila
harus kita duduk
mengharapkan bantuan
ihsan mereka.

Siapa kita
andai masih
disuap 
jemari di tangan tua
mereka.

Siapakah kita
seandainya
tidak mahu berusaha
pemalas
menghabiskan harta mereka.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
30/06/2014.

KENALI DIRI SENDIRI


Aku Sazalee
bukan Sulaiman
kerana Sulaiman itu
bapak aku
aku anak kepada
Pak Sulaiman.

Kalau tak paham maaflah ya!
... sebab aku sendiri pun tak paham
dari mana puncanya
dari mana asalnya
mana pula pucuknya
dan mana pula pangkalnya
apa yang aku perkatakan.

Senyum, tak perlu bayar apa-apa.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
30/06/2014.

PUASA ANAK DAHULU DAN SEKARANG


Dulu
masa sekolah rendah
tahun 80, 81 dan 82
bekal belanja hanya 30 sen
kerana kedaifan keluarga
berpendapatan kecil.

Sebagai anak kecil
ada masa dan ketikanya
melihat kawan-kawan sebaya
berbelanja
bawa pulang air botol
hati amat terasa.

Namun itu bukan alasannya
untuk aku tidak merasa.

Aku masih ingat lagi
kerana ingin merasai kenikmatannya
seperti budak-budak lain
sanggup aku ke belakang kantin setiap hari
mengutip tudung botol
untuk mendapatkan getah di bawah tudungnya.

Untung sabut timbul
untung batu tenggelam
kalau bernasib baik dapatlah aku
getah yang bergambar
bila dihimpun dapat menukar
sebotol air minuman seperti tertera.

Ya! ... kerana kedaifan keluarga
aku harus rajin berusaha untuk merasai nikmat
seperti budak-budak yang lain.

Engkau ada kenangan seumpamanya?

Tapi sekarang
aku lihat anak-anakku sendiri
walau 3 ringgit
perbelanjaan sekolah seorang
masih tidak cukup
masih meminta wang untuk ke bazar Ramadan.

Tidak mahukah mereka berusaha
seperti aku dulu
berusaha untuk mendapatkan apa yang aku mahu
tanpa mahu menyusahkan kedua orang tuaku
berusaha
untuk mendapatkan apa yang dihajati.

Entahlah?
Mungkin fikiran anak-anak zaman sekarang
terlalu lemah, tiada sifat ingin berusaha
tiada daya imaginasi
untuk memperkembangkan jalan
mendapat apa dihajat.

Ah! Kalaulah dapat aku pulang ke zaman dahulu
akan aku tunjukkan kepada mereka;
cara-caranya.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
30/06/2014.

Sunday, 29 June 2014

New Sabah Times 29062014

Syair Selepas Hujan diterbitkan sekali lagi di dalam akhbar New Sabah Times bersama karya temanku Azridah Ps Abadi yang bertajuk Uzlah, puan Noriezzsma A Gaib bertajuk Persimpangan Malam dan Norawi Hj Kata yang bertajuk Warna Warni Perpaduan 29 Jun 2014...tahniah tuan dan puan dan terima kasih abg Yatim Ahmad.

PELIHARA PUASA


Kata-kan-lah apa sahaja
biawak mahu-pun kera
cuma jangan sampai men-cerca
meng-umpat jangan di-serta
meng-eji; jauh-kan dari sengketa
men-cemuh usah di-sengaja
ada hati akan ter-luka
nanti kurang pahala puasa
hanya penat di-biaya
sia-sia.

Pejam-kan mata namun jangan di-buta-kan pandangan-nya
pekak-kan telinga namun aktif-kan gegendang-nya
tutup mulut jaga-lah lidah dari bahasa
kawal-lah tangan jangan sampai jemari ber-angkara
jaga-lah nafsu dari serakah meng-gila.

Musuh jangan di-cari
rezeki jangan di-tolak
terima kalau di-beri
me-minta harus di-elak

kerana tangan yang mem-beri lebih mulia dari me-minta
men-jadi etika rukun ber-tetangga.

Ingat-ingat-lah ya!

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
29/06/2014.

PERINGKAT-PERINGKAT DI HARI PERTAMA RAMADAN


Peringkat pertama
dari jam 05.34 pagi
sehingga jam 09.00 pagi
mata disagat silau
kepala atas meja
liur aku merenjis-renjis.

Peringkat kedua
jam 09.01 pagi
sampai jam 13.00 tengah hari
cacing mula berbunyi
kelaparan katanya
padan muka dia.

Peringkat ketiga
bermula jam 13.01 tengah hari
hingga jam 17.00 petang
gendang-gendang berdendang
boleh dengar dari rumah sampai ke padang
perut-perut berdondang.

Peringkat keempat
waktu ini yang paling ditunggu-tunggukan
waktunya bermula jam 17.01 petang
sehinggalah azan Maghrib berkumandang
jam 19.25 malam
bibir cencorot rindukan asap kebakaran

"Heheh! ... halau nyamuk sebelum menyerang"

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
29/06/2014.

SATU BERTITIK TERAPUNG DUA RAMADAN


Bersimpuh di bangku malas
kepala baik punya beralas, bukan pemalas
dunia kupasang belebas

tok-tok-tok
"Nak kerja ke nak membuta?"

Ada kerja ada gaji.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
29/06/2014.

PERGINYA SEORANG ARKIB

Sajak ini diilhamkan atas permintaan seorang sahabat sebagai mengenang Allahyarham Uztaz Hassan Shukri sempena 3 tahun kepulangannya ke rahmatullah. Al-fatihah


14 Jun 2010
Langit petang menangis
airnya membasahi bumi
sebutir bintang terpadam
duka pun menyapa akan satu kehilangan
dan kami terbenam dalam kesedihan yang panjang.


Engkau telah hampir menyempurnakan segalanya
lorongnya telah engkau sediakan
onak, ranjau dan ilalang telah engkau cantas
kini kami menyusuri lorong-lorong itu
menyambung segala langkah hebatmu
walau kini tiada gerak serentak antara kita
semangatmu masih di sini…membawa tenaga api
di lorong perjuangan ini
dan ia tak pernah mati.


Biar dihujam pedang di lehermu
biar keris berlok sembilan di rusukmu
berdirimu semakin teguh
semangatmu tak pernah rapuh
ini perjuangan suci katamu
kita berdiri di bawah panji-panji Muhammad
dan perjuangan ini tidak pernah tamat.


14 Jun 2010
Engkau telah pergi menemui Tuhanmu
dan ketika rohmu terbang mendapatkan rindunya
kami akan terus dewasa untuk memohon restu dari Tuhan
biar terbongkok-bongkok menafi ketuaan
namun kami tanam hati berani di pintumu
perjuanganmu pasti bersambung
dan jika darah menjadi rinai gerimisnya
…biarkan Kerana kami tahu…engkau pun tahu
perjuangan ini perjuangan suci
dan ia juga tak pernah mati.


Qalam Bertinta
Klang
27062014

SATU RAMADAN


Bersimpuh di bangku malas
melayan bayu terpa
melayang semakin melayang

me-la-yang hilang
terbang.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
29/06/2014.

Saturday, 28 June 2014

SALAM RAMADAN AL-MUBARAK


KELADAK


Menyelak helaian rasa
ada peniti yang sembunyi
telah berterbangan
lalu kucari benar
di antara sandaran ikhlas
namun hampas
senyumnya api
membakar jambatan rapuh
runtuh di sungai sebu
...berkeladak.
Di pinggir lurah
debuan mati tidak bernisan
talkinnya juga api
di sebalik tirai merah
damai santun dibunuh
dan bintang-bintang kehormatan
padam di hujung lidah hitamnya.


Qalam Bertinta
Klang
28062014
1529pm

KRONOLOGI: SENTUHAN PUISI DARI LAGU

Lirik Pelangi Petang - Sudirman

Kumeniti awan yang kelabu
Kutempuhi lorong yang berliku
Mencari sinar yang menerangi
Kegelapanku:
- telah aku meniti awan yang kelabu
dan aku tempuhi lorong-lorong penuh berliku
dalam mencari sinar yang dapat menerangi
kegelapan dalam hidupku.

Kupercaya pasti suatu masa
Sang suria kan menyinar jua
Membawa harapan yang menggunung
Bersamanya:
- aku percaya, pasti; di suatu masa nanti
sinar suria akan menyinari hidupku
dan membawa harapan setinggi gunung
bersama kehadirannya.

( korus )
Engkau tiba bagaikan pelangi
Tak bercahya namun kau berseri
Tapi cukup menghiburkan
Hati ini:
- engkau; kekasih. Tiba bagaikan pelangi
tidak bercahaya, namun engkau tetap berseri
tapi cukuplah, sebagai hiburan
di hatiku ini.

Seharian waktu bersamamu
Tak terasa saat yang berlalu
Bagai pelangi petang kau kan pasti
Pergi jua:
- seharian waktunya dapat bersama denganmu
sungguh aku tidak terasa saat-saat yang pergi berlalu
namun, bagai pelangi petang engkau akan pasti
pergi meninggalkan aku; sendiri lagi.

( ulang dari korus )

Lirik Pelangi Petang - Sudirman @ Lirikami

http://youtu.be/SuiY_ZOc9is

Sumber : http://www.liriklagumuzika.com/2008/08/lirik-pelangi-petang-sudirman.html#ixzz35uRS5pPF

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
28/06/2014.

MARHABAN OH MARHABAN


Allah Allah
Allahu ya Allah.

Marhaban oh marhaban
marhaban ya Ramadan
engkau datang memancarkan
cahaya keinsafan.

Allah Allah
Allahu ya Allah.

Marhaban oh marhaban
marhaban ya Ramadan
kedatanganmu oh Ramadan
suluhkan keimanan.

Allah Allah
Allahu ya Allah.

Marhaban oh marhaban
marhaban ya Ramadan
sampaikanlah peringatan
agar kami tidak kealpaan.

Allah Allah
Allahu ya Allah.

Marhaban oh marhaban
marhaban ya Ramadan
segala puji-pujian
hanya untuk-Mu ya Tuhan.

Allah Allah
Allahu ya Allah.

Marhaban oh marhaban
marhaban ya Ramadan
berikanlah kami kekuatan
Maha Suci Allah Engkaulah Tuhan.

Allah Allah
Allahu ya Allah.

Marhaban oh marhaban
marhaban ya Ramadan
kini kami menyerahkan
ibadah kami kepada-Mu ya Tuhan.

Allah Allah
Allahu ya Allah.

Marhaban oh marhaban
marhaban ya Ramadan
semoga Dikau mengizinkan
pahala Kaugandakan.

Allah Allah
Allahu ya Allah.

Marhaban oh marhaban
marhaban ya Ramadan
semoga Dikau mengampunkan
dosa-dosa kami Kaulepaskan.

Allah Allah
Allahu ya Allah.

Marhaban oh marhaban
marhaban ya Ramadan
kerana sesungguhnya Engkau Maha mengizinkan
dosa gugur bak dedaunan.

Allah Allah
Allahu ya Allah.

Marhaban oh marhaban
marhaban ya Ramadan
tiada tuhan yang disembahkan
melainkan Dirimu ya Allahu ya Tuhan.

Allah Allah
Allah Allah
Allah Allah
Allahu ya Allah.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
28/06/2014.

MALAM ANTARA DUNIA DAN AKHIRAT


Malam ini episod akhir
isteriku doktor, suamiku jururawat
setelah berbulan mengikuti
kini tiba di penghujungnya cerita
apakah yang bakal terjadi
pada kisah rumahtangga mereka
malam ini,
adalah malam penentuannya.

Namun! ... malam ini juga
adalah malam pertama bertarawih
malam bermulanya ibadah suci
puasa bulan Ramadan
yang Allah telah janjikan
malam seribu bulan di dalamnya
bulan penuh tawaduk dan kesyukuran
umat bernama hamba.

Dilema,
antara drama episod akhir
dan tarawih malam pertama
ada dunia - ada akhirat
menjelma di persimpangan minda
atas dacing
penimbangan manusia
berakal sempurna.

Timbanglah; ... yang mana paling utama?

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
28/06/2014.

Haiku


awal Ramadan
bertadarus di masjid
himpun pahala


Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
27/06/2014.

Friday, 27 June 2014

DI AMBANG RAMADAN-MU


Ya Allah ya Robb,
aku sambut Ramadan-Mu
dengan tangis sendu
di hatiku.

Mungkin ujian
untuk mematangkan aku
di ambang hadirnya
Ramadan-Mu.

Tangisan yang bergema
menyesakkan kalbu
serasa syahdu
dilukai.

Tangan-tangan rapuh
ubun lembut, kesayanganku.

Di ambang Ramadan-Mu
ya Robb
tangisanku
bergema.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
27/6/2014.



SENDU MASIH BERNADI


Habuk-habuk berkaca
masih melekat
menancap nyeri
di ruangan paling dalam
berbola mata
dan berdenyut di saraf nadi
hati.

Bisa yang paling berbisa
meronai kabur
iris si anak mata
tidak merembes
keluar
dek manik-manik berderai
air mata.

Habuk-habuk kaca paling seni.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
27/6/2014.

HUJAN AIR MATA


Subuh sunyi
tarian hujan bergema
di atas zink menari
tik
tik
tik
bening seketika.

Katak-katak bergembira

gema bersahutan
di lopak-lopak tercipta
bertemasya air
ong
gedikgedik
ong.

Aku di muka pintu
leka menyeka air mata.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
27/6/2014.

mingguan warta perdana 29.6.2014 1 ramadan

RAMADANKU BERTEKA-TEKI

Aku menantikan Ramadan
di kabus senja
mungkinkah menjelma
datang sebagai tetamu jiwa
membelai
dan menyiram kasih suci
untuk aku nikmati
zat kasih Ilahi
sekali lagi.

Sujud dalam puja dan puji
menghambakan diri
atau hadirnya Ramadan nanti
tidak dapat aku sentuhi
tidak dapat aku rasai
tidak dapat aku nikmati
dengan jiwa sanubari
setelah jasadku ini
menjadi tetamu tanah berwakaf.

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui
kerana Ramadanku, masih berteka teki.

Sazalee Sulaiman
Nilai, NS
07/05/2014
7 Rejab 1435
16.30am.

HEMPEDU DI HATIKU


Ingin kupejamkan mataku
namun lena enggan bertemu
diriku
di malam sunyi pilu
hanya berteman sendu-syahdu
membawa tamu pahit hempedu
melimpah di kolah hatiku.

Basah jiwaku.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
26/6/2014.

KERANA KASIH KEPADA MEREKA


Kerana mereka
aku jadi getah.

Kerana mereka
aku jadi badang.

Kerana mereka
aku jadi robot.

Dan kerana mereka
aku jadi tikus
lemah selemah-lemahnya.

Menjeruk rasa.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
26/6/2014.

Thursday, 26 June 2014

RINTIHAN

Di hati ini:

- ada pintu
menuju kamar
berkatil
tilamnya empuk.
Ada jendela
tiada berlangsir
penutup tirai
menahan
: tempias hujan.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
26/6/2014.

ANAK-ANAK SEKARANG


Semalam
hari ini
esok
lusa
minggu depan
bulan hadapan
tahun-tahun mendatang
... ,

entahlah.

Terfikirkah mereka?

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
26/6/2014.

BILA MASAMU BERHENTI


Tika engkau berbisik...gemersik
alam mendesah...resah
di jemalamu engkau menjunjung fitnah
tebarannya membunuh ukhwah
engkau mengetuk setiap jendela hati
menyesak dalam sesak
engkau menutup mata...mati otak
tak berotak.


Senyummu bersambung ketawa
dekahmu menggegarkan langit
mentari menjeling...api menanti
bilik itu sudah terbuka
juga menanti
ketika engkau berpaling
masamu pun berhenti.


Qalam Bertinta
Klang
25062014
2045pm.

KRONOLOGI DI SEBALIK KISAH JAM ENAM


Jam Enam:
: Seusai jam tiga ke hulu ke hilir
sebagai pemandu tidak bergilir
di atas motor asap dijelir
jam enam bertaklik nadir
sebagai tajuk kupilih mampir.

Bermata jauh:
: Pabila badan sudah keletihan
dunia dipandang hilang keindahan
letak kepala sekejap kehilangan
bermata jauh aku katakan
bergelumang mimpi aku lakarkan.

Pandangan rengkuh:
: Di dalam mimpi bermain ilusi
di pandangan mata semuanya pasti
terbuai-buai tersenyum sendiri
menari-nari alamnya mimpi
merengkuh tubuh melekat berdiri.

Roboh roboh:
: Buah nangka kusangka cempedak
diratah aku sehingga tersedak
sudah merengkuh melekat bercelak
para pemimpi retak dipijak
jatuh ke tanah mimpi berselerak.

Kota selingkuh:
: Asyik selingkuh sesawang mimpi
apa sahaja mampu dibeli
di alam realiti tidak akan terjadi
di alam mimpi bertautan jari
kemas kupaut si tuan puteri.

Angkuh:
: Namun angkuhnya mimpi seketika cuma
hilang selingkuh di sebalik mega
berkeringat tubuh menyentuh rasa
mentari membakar di hujung jendela
menyimbah bahang aku terseksa.

Peluh bersetubuh:
: Berpeluh sakan seluruh tubuh
bagai dipanggang ketuhar sesentuh
basahlah tilam lencun mengampuh
kamar tertutup kipas selingkuh
suis utama menendang paruh.

Asar meludah:
: Rupanya aku bermimpi di siang hari
indah ilusi hanyalah imaginasi
bertandang sebentar di dalam sunyi
datang si puteri permainan mimpi
terlewat Asar aku diludahi.

*****
Jam Enam.

Bermata jauh
pandangan rengkuh
roboh roboh
kota selingkuh
angkuh
peluh bersetubuh.

Asar meludah.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
26/6/2014.

Tuesday, 24 June 2014

TATIH


Seorang sifu
     limapuluh tahun baru bertahta
seorang lagi sifu
     tigapuluh tahun baru dirasa
aku?
     empat tahun apalah sahaja

tatih-tatih jatuh
     tatih-tatih masih jatuh
perlu giat berusaha
... .
    berjaya
           untuk
                tangga
                      meniti
                            berusaha
                                    terus
                                         berusaha.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
23/06/2014.

KEDATANGAN AL-MUBARAK


Rintihan ibu bergema
berkecai melukakan nubari
anakanda-anakanda
yang jauh di perantauan
merindui

belaian kasih dan sayang
seorang ibu
serta keenakan air tangan ibu
di pagi mulia
nanti.

Semoga kedatangan al-Mubarak ini
membawa cahaya ibadah
ke dalam diri.

Justeru
dapat mempertingkatkan lagi
ibadah sejati
doa anakanda-anakanda
yang jauh di perantauan
untuk kesejahteraan
ibu.

Ibu, kamu; kami rindu
ibu, kamu; kami kasih
ibu, kamu; kami cinta.

Ibu, walau dikau jauh
hilang dari mata
namun ibu
tidak pernah hilang dari hati
kami.

Ibu, tunggulah; kami akan pulang.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
24/06/2014.

Monday, 23 June 2014

SELOKA RAP (Rambut Aku Panjang)


Ke Jelobak ke Jelobu
makan lobak macam lembu

ke Jelobak ke Jelobu
gigi rongak muko malu.

Ke Jelobak ke Jelobu
ado budak belakang pintu

ke Jelobak ke Jelobu
pakai otak jangan serbu.

Ke Jelobak ke Jelobu
poie Gombak cari cikgu

ke Jelobak ke Jelobu
muka bagak hati rindu.

Ke Jelobak ke Jelobu
posan bapak posan ibu

ke Jelobak ke Jelobu
kalau hendak pinang selalu.

Ke Jelobak ke Jelobu
kereta rosak pagi Rabu

ke Jelobak ke Jelobu
tidak gamak cerita kamu.

Ke Jelobak ke Jelobu
masa lepak hujung minggu

ke Jelobak ke Jelobu
ngurat anak dapat ibu.

Ekau ado?

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
23/06/2014.

LIDAH MAKAN BELACAN


(Kecindan)

The lone ranger
desperate? No no
lonely? No no
and stil no
no desperado
on a horse
raiding the wind flow
with my tights on
not off
all eyes are blind
because i'm still sane
not insane,
hidiyah!

Aduhai payah.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
23/06/2014.

TARIAN BAHASA


Aku tertonggeng
cuba menari bahasa asing
ternyata amat runsing
kepialu bendasing
lutut terpusing.

Pabila kubanding-banding
lenggok melayu cantik melangsing
irama dangdut lembut mengiring
'tap-dancing' buat aku pening
gering.

Seminggu terbaring.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
23/06/2014.

DWI-BAHASA


Itu-lah ... ,
masa kecil tak nak belajar
kan sekarang dah terketar-ketar
bila karyamu minta dihantar
di dalam bahasa Inggeris diolah lakar
ke PAMERAN DI UTAS UNIVERSITI TASMANIA AUSTRALIA
karyamu dijalar.

Aduh-lah ... ,
nasib baik ada 'Google Translater'
dapat juga menolong
menterjemahkan
walau bahasanya rompong
menonong
maksudnya masuk ke lombong.

Boleh-lah ... ,
Syair Jiwa jadi Poetic Soul
Syair Nirmala jadi Poetic Nirmala
asalkan ada.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
23/06/2014.

Sunday, 22 June 2014

SESUNYI KARANG DI KOTA MIMPI


Tadi aku terbaca
sebuah karya
berbicara tentang karang sunyi
di tengah lautan
seakan mati
ditemani plankton seni
ikan bisu menguasai
dasar lautan
sepi

tergerak pula perasaanku ini
ingin mengarang
tentang sunyi
kian menjerut nubari
kesunyian di tangkainya hati
di tengah kota lambungan mimpi
penghuninya sendiri-sendiri
tidak menegur
- sesama

namun kesunyian
melanda karang dan pantai
tidak sama dengan kesunyian hati
di mana kesunyian karang akan menghilang
bila nyiur mula beralun
melambai, berdesir mengikut rentak bayu
pilu
menampar pantai

sedangkan kesunyian
kota bernafsu
mencengkam hati
mula menjalang di waktu petang
pabila kenderaan berdesup pulang
membawa pekak bukan bisu
walau di hati pilu
di alam mimpi
- sunyi.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
22/06/2014.

Muhammad Firdaus Dullah


Moga hidupmu terbela
Umurmu masih muda
Hadapi dengan tabah jiwa
Anggap yang terjadi ujian dunia
Mengajar erti kasih sayang sempurna
Melakar sejarah negara
Anak-anak sepertimu ramai tak dijaga
Dibiar tanpa perhatian sewajarnya.


Firdaus
Indah namamu
Riak wajah lesu
Dibiar tak berbantu
Aku sungguh pilu
Untung operasi PATI ketemu
Sekurang bantuan tiba buatmu.


Dato' Menteri
Usahakan agar tragedi tak berulang lagi
Lancarkan program mendekati
Laksanakan langkah mengunjungi
Anak-anak OKU ini
Harapanku, bertindaklah duhai menteri.


CNM, 22/6/14

NAZAM LA TAHZAN


La tahzan la tahzan la tahzan ... .

La tahzan wahai teman, teman kami,
Allah ada di negeri, langit bumi.

Sembah salam kepada Tuhan, Tuhan kami,
yakin Dia, akan hilangkan; hilangkan kesedihan kami.

La tahzan penduduk alam dunia serta ghaib,
yakin Allah akan tutup segala aib.

Selagi kita ikhlas dalam zikir ratib,
rukun iman dalam dada, pertahankan tertib.

La tahzan anak-anak serta isteri,
Allah ada dalam hati serta diri.

Walau perih kehidupan kita sehari-hari,
bersyukurlah kita rezeki dicari Allah yang beri.

La tahzan nazam ini diberi tajuk,
semoga dapat melegakan dan terpujuk.

Kesedihan hati jangan kita ajuk-ajuk,
ingatlah Allah akan sentiasa beri pertunjuk.

La tahzan la tahzan la tahzan.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
22/06/2014.

Saturday, 21 June 2014

BERMUKA TEBAL


Telah aku cuba
sembunyikan
anuku di dalam tanduk kerbau
bertebuk lubang
mengikut acuan diberikan
namun tanduk tidak tersembunyikan
tetap juga kelihatan
bersama anuku yang terbuka
telanjang
bercawatkan kulit durian
terpaksa aku biarkan.

Bagai menggantung vuvuzela.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
21/06/2014.



KERANA NAFSU


Kita boleh sembunyi
kita boleh bersembunyi
namun dalam sunyi bersembunyi
ada bunyi
sedang beryanyi
dalam belukar duri
menikam diri.

Orang memang tak tahu
namun kita tahu
dan Allah juga tahu
apa yang disembunyikan dari tetamu
dalam bicara gerutu
bernafsu
amarah menyeru kalbu.

Bicara berdegar
sehingga bergegar
pagar
namun suluhan binar
menunjukkan siapa yang benar
tiada yang benar
melainkan yang benar.

Kini tersedar dari lamunan
namun kekulit kacang sudah kelukaan
menjadi halimunan
dek kekacang yang lupa daratan
di atas nama kepopularan
membutakan.


Kesian.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
21/06/2014.

AKU PEDULI APA


Maafkan aku andainya suaraku menembus jantung kalian
aku tetap aku, suaraku akan bergema bila sikap mula bertingkah
bila langkah mula menyimpang dari tujuan
aku cuba menuntunnya kembali ke langkahan sebenar
aku tidak pernah peduli jika huluran tanganku ditepis
aku juga tidak pernah peduli jika kata-kataku dianggap racun
bila kebenaran cuba dihumban ke lembah gelap
aku pasti akan berdiri di sini, menggemakan suara
biar dibenci, biar dicaci
aku peduli apa.


Maafkan aku jika aku katakan kalian juga seperti aku
tidak sempurna dan tidak pernah akan sempurna
usah dianggap teguran sebagai cemburu
tapi belajar dan berubah dari setiap teguran
terimalah hakikat fitrah diri yang dibentuk sejak dari azali
kita tidak benar segalanya dan juga tidak salah segalanya
berfikirlah dengan akal dan bukannya dengan ikatan rapuh
biar akal yang berbicara dan bukannya nafsu
dan bukan juga bicara yang datangnya dari kepala lutut
kerana bila itu berlaku, aku akan tetap di sini
bersuara biarpun dibenci

…aku peduli apa.

Qalam Bertinta
Klang
21062014
1355pm

PADA SERAUT WAJAH


Tajuk: NAZAM RAMADAN

(Percubaan kedua bab 1 mengikut huraian ZAABA)
Tajuk: NAZAM RAMADAN

Hati rindu tidak terperi,
datangnya bulan seribu pahala diberi.

Ramadan yang mulia kian menghampiri,
dinanti insan dengan tawaduk sanubari.

Di bulan Ramadan gandakan sujud di dahi,
sujudnya seorang hamba kepada-Nya Ilahi.

Semoga Ramadan kali ini Allah barakahi,
diterbitkan-Nya cahaya di wajah insan dikasihi.

Ucapan kesyukuran haruslah meniti,
di bibir seorang hamba agama Islam sejati.

Tutupkan mulut palangkanlah hati,
semoga puasa dapat kita semua hayati.

Hidupkan yang wajib suburkanlah yang sunat,
bersolat di masjid imarahkan amanat.

Bertadarus bertahmid bukannya memenat,
buat seorang insan yang memegang amanat.

Nazam Ramadan kuhentikan dahulu,
dalam bab satu selesai aku perdahulu.

Izinkan aku mencari ilmu di hulu,
insya-Allah bertemu waktu makan bahulu.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
21/06/2014.

Tajuk: NAZAM FADILAT

(Percubaan pertama NAZAM mengikut huraian ZAABA)

Telah difadilatkan bulan-bulan Islam,
yang sering berkumandang dalam syair berkalam.

Ada tiga bulan dipesan Rasul Alaihissalam,
fadilat teristimewa untuk sekelian alam.

Rejab bulan untuk menabur benih,
bagai berkasih pada tanah-tanih.

Di hati umat tiada yang pelik dan aneh,
fadilat Rejab membenihkan iman direneh.

Syaaban bulan menyiram tanaman,
agar subur mekar bersiraman.

Kukuh pegangan mandikan dalaman,
membasahlah dada dengan siraman iman.

Ramadan pula bulan untuk menuai,
bukan bulan untuk umat terbuai.

Leka bergembira akan membawa cuai,
pahala dan dosa itulah yang akan dituai.

Bulan-bulan tersebut bukan direka fadilat,
sunat bertarekat menjadikan keimanan bulat.

Tidakkan sia dalam amalan berkulat,
andainya fadilat difahami secara julat.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
20/06/2014.

Friday, 20 June 2014

DIBUMBU KELAM


Ingin aku bersyair
bergurindam dan berpantun
mungkin juga bernazam
atau bertalibun
pendek kata
ingin aku berkarya
meluahkan apa sahaja dari minda
agar sengsara tidak aku terasa
bagai menyimpan bencana
di gedung minda.

Namun akur aku katakan
terpaksa kugandar gegelang ilham
kerana keletihan laju berputaran
sehingga haus getah dalaman
tercabut pula skru luaran,
batin terseksa
kok merasa
terpaksa kudiam dalam memendam
hanya memeram
namun tidak aku mengeram.

Dibumbu kelam mindaku pitam.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
20/06/2014.

KETIKA HATI MENANGIS


MANA KUTAHU


Sang bayu mati
laut menyepi
di hadapan rumah
kolek kutambat.

Gempa tiada
dinding bergoyang
lantai dan bumbung
kiblatnya lain.

Tidak kutanya
salah silapku
biarkanlah waktu
aci di pintu.

Mungkin membenci
mana kutahu
duduk menyepi
menopang dagu.

Pantai kukais
sambil berlagu
mencari binar
geruh berlaku.

Gema seruling menusuk kalbu.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
20/06/2014.

BAIDURI KESTURI SURI


Intan baiduri
si batu permata
cantik berseri
berakar cinta
limau kesturi
titis di mata
biar beruri
syahdu bertahta
harusnya suri
faham kekata
hati berduri
tetap bergenta.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
20/06/2014.

TAZKIRAH MINDA


Sedut nafas
lepas
ulang beberapa kali
sehingga lega
sebelum direnggangkan urat
tersimpul belikat
bertubuh kuat.

Tambahkan berkat
dengan syafaat
dalam selawat memberi salam
ke atas Nabi junjungan
pembawa amanat
baru hidup
lebih bersemangat.

Selongkari sebentar
bertazkirah
perjalanan umat terdahulu
menempuh dugaan
jadi tauladan
jadikan kekuatan
jadikan kehidupan.

Barulah tajam
akal fikiran
menjana minda
zuhud
di pagi Jumaat
ambil berkat
hidup yang bermanfaat.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
20/06/2014.

Thursday, 19 June 2014

KEHILANGAN NIKMAT


TERSALAH UKURAN


Badan aku bersize xl
kenapa pula aku terbeli size xs
bukankah aku telah cuba di kedai
macam mana aku tersalah berandai
terdedah perut - terdedah pusat
mata mengarut terlelap sesaat
aduhai!
.... bukan alah waktu membeli
tapi kalah bila kupakai
malunya tidak mampu kurungkai
poket pokai
bertamu aku di pajak gadai.

Hendak kupulang terasa sayang.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
19/06/2014.

NYANYIAN RASA


Malam yang telah melucutkan pakaiannya
mega emas itu masih di barat
haruman pagi bernafas di perdu subuh
pelepah siang menghuraikan mayangnya
kita tidak membilang hari
bumi ini sempit
jadi gunung
jadi bukit
jadi parit.

Siang berpakaian megah
maruah tergadai pada pusat malam
nyanyiannya indah
pujukan melewah
diri terdedah
jadi sampah
jadi barah.

Indah hanya kutipan rasa
ketika tunjangnya menjolok langit
rimbun tidak merendang
redup membahang
jadi api
jadi benci.

Qalam Bertinta
Klang
19062014
0711am

MAAF LA YA


Maaf la ya...
fobia dah jadinya
kata-katamu
masih berbisa
nak sembuh, perlukan masa
hingga kini, berbekas kesannya
usahlah bertalam muka
yang akhirnya terhidu jua.


Maaf la ya...
bukan kusengaja
usahlah berpura-pura
usahlah berperasangka
kerana
itulah punca
segalanya.


Maaf la ya.

ZIE
19/06/2014

SUARA BAHASA


Bagaimana harus kutulis
menjelmakan suara
di atas kertas tidak bernyawa
dengan hanya berpena
seriau.

Boleh sahaja aku menulis
ayam berkokok - kucing mengiau
bercerita buta
tiada gambaran suara
igau.

Atau bisa sahaja kukaryakan TRI-V
ayam berkokok kok kok kok
atau kucing mengiau meow meow meow
memberikan suara
di kertas menggagau.

Justeru bersuarakah bahasa
bergemakah bicara
di minda pembaca
berteori dan beramali
merantau.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
19/06/2014.

SENJA


SANGGUL HITAM KURAWAI


Apa maknanya
sanggul hitam berawai
andai orang kuintai
kubelai
enggan memakai

terbiar jatuh berderai
di lantai terungkai
satu persatu bercerai
terburai
manik-manik berkasakan cindai

bak teratai
di paya menapai
layu melambai
tangan tak tercapai
untuk menuai.

Di hati memerah inai.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
19/06/2014.

Wednesday, 18 June 2014

ARUS


Bunga tasik
kian menjauh
mudah tercarik
bila dirempuh
berbaik-baik
air diampuh
jangan diusik
tidak bersungguh.

Bersangka baik
mungkin penyembuh.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
18/06/2014.

Duhai Pemerintah


Dengarkan keluh kesah
hati rakyat yang dalam gundah
usah putarkan madah berhelah
ketirisan audit telah dedah
haruslah diagnosis dan bedah.


Rakyat kian lelah
hidangan khidmatmu tak menyerlah
sana sini retak menanti belah
cegah sebelum parah
jangan biar nanah menjadi barah.


Atap bocor memusnah
rintik keraguan membasah
bahang kepalsuan memamah
perpaduan sedikit demi sedikit dijarah
lantaian politikmu kian reput merekah.


Andai kamu melatah
akar tunjangmu boleh patah
perjuanganmu boleh hilang getah
belum terlambat berpatah
dari terus di jalan salah.


CNM, 18/6/14

KALAM PENDEKAR


Lokan dan duku
lencun dicuci
sahaya lompat
tungku menimpa
bawakan daku
racun pembenci
supaya dapat
aku melupa.

Bukit Sentosa
gempa menempa
laman merpati
direngkuh pelam
sakit terasa
timpa menimpa
teman sehati
selingkuh tilam.

Pendekar berkalam.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
18/06/2014.

PASTI


Lalu kita pun diam
bicara telah lama mati
kita bukan satria yang membela
gerak juga bukan pahlawan
pencak kita tidak ditentang
lelah di gelanggang sendiri
menanti dan dinanti
masih lagi mencari pasti.


Kaki ini masih teguh berdiri
terpasak di laman adab dan budi
suaranya masih ada
namun tersekat di kerongkong lafaz
pencaknya juga ada
namun langkahnya kian sumbang
derapnya menyimpang
menunggu tumbang
...pasti.


Qalam Bertinta
Klang
17062014
0947am.

LANDAS NAWAITU


LARA SEORANG PENDEKAR


Kuasah parang
parangku tajam
untuk menakik
si pohon jati
terpisah jurang
jurang merejam
bentuk bertakik
pepohon hati.

Di medan sunyi.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
18/06/2014.

PENTAS PENULIS SEMASA


Engkau menulis aku menulis
tiada beza sama sahaja
mengeluarkan ilham dari minda
untuk dibaca, pembaca.

Aku menulis perihal legenda Sabah
engkau menulis imaginasi; Harry Potter
sama-sama berilusi dalam berbahasa
juga bicara.

Yang menghairankan.
Aku sekadar cukup makan sahaja
sedangkan engkau bertahta seumpama raja
royalti berjuta; masyuk.

Apa yang membezakan kita?

Adakah pemasaran?
Atau minda pembaca memainkan peranan?
Barangan luar negara diutamakan
barangan dalam negara dipinggirkan.

Atau mungkinkah
mutu kertas yang berbeza?

Atau mungkin juga
karyaku yang melewah
ke utara ke selatan
di tengah-tengah
timur dan barat.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
18/06/2014.

BEDUK OMBAK REBANA RIBUT


MATA ANGIN


Utara kuharap
selatan menjadi
di tengah-tengah
sepi mendakap
timur dan barat
bayu menari
bermain sembunyi.

Sederap perap.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
17/06/2014.

Tuesday, 17 June 2014

PANTUN NASIHAT BENDAHARA


Keris hitam keris setubuh,
berlok-lok panjang sehasta;
Hiris ketam hiris berembuh,
berelok-elok ranjang bermata.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
17/06/2014.

embuh: mahu, ingin: maka Bendahara Seri Maharaja berkata, Budak-budak ~kah memandang emas?; embuh-embuhan; ~ tuah untung-untungan. Kamus Dewan Edisi Keempat

DUNIA SEKANGKANG KERA


Pandai api pandai tempa
pantai berapi pantai gempa
sakit hati sakit jiwa
rakit berganti bukit bernyawa.

Nak lari ke mana?
Lubang cacing kugali juga.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
17/06/2014.

SUMPAH PEMBELA


Akal terpasung
minda berdarah
tengkuk meremang
bayu menyumpah
haruan meratah
tak akan terlepas
akan kucangkuk
kubiarkan kering
di tengah halaman
menjadi piala
si buluh runcing
kepala terpisah.

Itu sumpahku.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
17/06/2014.

RUSIE


TERPASANG TOPENG


DI ANTARA


Pantai teduh itu matamu
pesisirnya meredup
di gigi airnya engkau sembunyikan kisahmu
lalu menyapa angin
pesanmu telah lama tertinggal
di antara pepasir dan bebatuan.


Dan akulah yang hanyut di hujung matamu
kaki langit itu telah jauh kutinggalkan
menuju pesisirmu yang meredup
pun ombak itu aku
menyentuh hujung kakimu
agar kisah itu engkau tinggalkan
di antara pasir dan karang mati
di antara pantai teduh dan pesisirnya yang meredup.


Qalam Bertinta
Klang
17062014
0801am

RENUNGAN


     'Puisi boleh dikatakan sebagai sebuah kod berbahasa yang berselindung dalam diksi, suku kata dan abjad mewarnai lakaran dan estetika terbina. Semakin dalam bahasa dan semakin sukar untuk dirungkai maknanya semakin berbisa karya dibina.
     Seumpama haiwan dan kewujudan samaran sebagai kod pertahanan di tubuhnya. Semakin gerun penampilan kodnya semakin ditakuti pemangsa untuk mendekatinya, semakin menggalakkan pula perkembangan pemikiran pemangsanya. Memikirkan sebarang kemungkinan yang bakal dihadapi.

     Namun sebaik-baik puisi adalah Kalam Allah yang mempunyai kod yang istimewa untuk mereka yang mahu berfikir dan memaknai maknanya'

     Renung-renungkanlah.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
17/06/2014.



RENUNGAN


'Nikmati puisi
jangan menikmati pemuisi
hayati puisi
jangan hayati pemuisi
selongkari puisi
jangan diselongkar pemuisi'

Pemuisi adalah orang yang mengkaryai puisi dengan rona-rona bahasa yang dipakaikan pada batang tubuh puisi. Pemuisi akan menghayati dan menikmat puisinya terlebih dahulu sebelum diserahkan kepada pembaca untuk menghayati dan menikmati puisi. Seandainya pembaca tidak dapat menghayati dan menikmati serta menjiwai karya pemuisi maka pemuisi itu adalah pemuisi yang gagal.

Renung-renungkanlah.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
17/06/2014.

TAHTA RINDU


'Hendak kuuu nangiiis
tiadaa aaa aaa berair mata
hendak ku senyuum
tiadaa aaa siapa nak temmman
kalaulah nasib
sudah tersurat
begini hebat
apa nak buat ... .'

'Di mana kan ku cari ganti
Serupa dengan mu
Tak sanggup ku berpisah
Dan perhati patah, hidup gelisah'

Dunia
ibaratlah roda
berpusing mengikut paksi
sekejap di atas
sekejap pula di bawah
tidak kekal lama
pegun
terawang-awang
sehingga ke akhir waktu
mungkinkah bersua
kita.

Rindu
usah dikata,
sebak
menyesak rasa,
duapuluhdua tahun lamanya
terpisah jasad dan nyawa
walau yang baru
mengganti yang lama
rasa bahagia
namun tidak sama
rinduku
kekal bertahta.

'Barang yang lepas
hai jangan dikenang
kalau dikenang
meracunlah diri'

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
17/06/2014.

TIDAK SELESA


Bila perut buat hal
bangun
tidur
tidur
bangun
bangun
tidur
tidur
bangun.

Empat kali.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
17/06/2014.

Monday, 16 June 2014

AKU HANYA SEORANG JAGA


Aku sedar siapa diriku
tidak terpelajar tidak berilmu
pak pacak sajalah selayaknya aku
memegang cota penjaga pintu
dalam bangunan aku berlagu.

Belajar tak pandai
cita-cita tersadai
SPM kududuki kertas tak selesai
SAP sajalah mampu kupakai
kini tak laku di pajak gadai.

Dah tua bangka baru nak belajar
di alam maya cuba selongkar
nasib kubaik ada nak ajar
walaupun sukar kupahatkan engkar
kerana minat rela kukejar.

Alhamdulillah aku bersyukur
kepada Allah pemberi makmur
akal dipinjam berterusan subur
minda kucair terus meluncur
berjaya akhirnya menempa masyhur.

Namun sekalipun aku tak pernah lupa
kedudukan diriku di alam nyata
hanya menumpang ihsan Yang Esa
sambil bertugas menghimpun minda
menjadi dagangan paling berharga.

Gaji tak besar cukuplah makan
menyara keluarga dari kelaparan
ilham dipinjamkan jadi modalan
duit sampingan karya dagangan
walau tak banyak dapat sarapan.

Sambil berkarya kucurahkan ilmu
di alam maya mereka berguru
pernah kutegur sehingga berseteru
kini kutukar gaya teguranku
dalam puisi tegur berlaku.

Mereka yang faham tersenyum lebar
dapat menduga apa kulakar
yang tak faham pula kepala berdamar
benda yang baik dikatakan mungkar
di selekoh tajam gear tak tukar.

Aku tahu siapa diriku
aku juga tahu mana batasan aku
bini orang tak akan kugaru
kepada suami mereka telah kuberitahu
mereka hanyalah anak didikku.

Emmm! Inilah masalahnya
kerja pak jaga ada hati nak jadi guru
muka aku memang tak malu.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
16/06/2014.

HASAD


Syaitan telah berjanji
akan cuba sedaya upaya
menyesatkan
anak-anak, cucu-cicit Adam
sehingga berjaya membawa mereka
bersamanya
ke dalam neraka jahanam
sebelum semboyan kiamat bergema,
sebelum Israfil meniup sangkakala,
diusahakannya dengan hati
dan dari hati
hasad pun bermula
dibisikkan pula sengketa
sesama manusia.

Seteguh mana pun ukhuwah terbina
akan goyah dengan sekali tiupan sahaja
jika ukhuwah terbina tiada keikhlasan
dan juga kesefahaman.

Semoga hasad dapat dipadamkan
dengan cahaya keinsafan.

Astaghfirullah.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
16/06/2014.

PEMBERONTAKAN


Empatpuluhempat tahun engkau dikhianati
empatpuluhempat tahun engkau dizalimi
empatpuluhempat tahun engkau dianiayai
kaki
hari ini engkau memberontak
hari ini engkau menunjukkan kuasa
hari ini engkau membuka mata yang buta
di atas
leka mengambil lewa
di bawah
selama empatpuluhempat tahun lamanya.

Akhirnya aku terduduk
akur
di atas kerusi
menyarung seluar
dimulakan
sebelah kananmu.

Satu pengajaran bagiku
sesungguhnya engkau akan mengkhianati aku
di padang mahsyar nanti.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
16/06/2014.

SERATUS HARI MH370


Seratus hari menjadi misteri
bicara pun semakin menyepi
namun masih ramai yang ternanti-nanti
kisah sebenar yang terjadi
kerana ini bukan sekadar mimpi
tetapi nyata yang hakiki
kisah yang menyentap sanubari
dan menjadi sejarah tersendiri
tentang hilangnya burung gergasi
entah di langit atau di bumi.


Katanya pencarian masih berterusan
di darat juga di lautan
peralatan sehabis canggih di gunakan
bergabung beberapa negara, kerja sepasukan
siang malam, pagi petang tanpa bosan
namun yang dicari masih tidak kelihatan
kotak hitam, cebisan badan mahu pun serpihan
lalu timbullah berbagai persoalan
adakah kehilangan ini misteri buatan?


Qalam Bertinta
Klang
16062014
1457pm

PETAI


Nak makan petai
bagi yang bujang
terasa takut
nanti makwe lari
mulut berbau
sepekan.

Tapi itulah rahsianya
kebahagiaan rumahtangga
tak caya tanya orang tua-tua
semakin haring bau urin
semakin berkuasa
isteri kata 'very good'.

Jom!
Kita pakat cari petai
tengari ini.

Berkhasiat.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
16/06/2014.

Gambar oleh bapak Yassin Salleh.



SELAMAT HARI BAPA


Menebar kenangan
yang telah lama hilang
dan tak akan berulang.


Secawan kopi pekat
penghilang dahaga
seusai menoreh getah.


Aroma masih terhidu
bauan getah sekrap
mengundang rindu di hati.


Senyum seorang bapa
masih tebal di ingatan
penuh kasih sayang.


Kini tinggal kenangan
engkau pergi tak kembali
hanya doa kuutus buatmu.


nukilanhati
sue
150614

HARI BAPA YANG TERPINGGIR


Pergi kerja
pulang dari kerja
tiada salaman
tiada ucapan disuakan.

Bangun pagi bersorangan
pulang kerja bersendirian
anak-anak entah ke mana
isteri dengan rutin hariannya.

"Ayah, nak duit"
"Ayah, nak pakai motor"
"Ayah, nak itu-ini"
Itu sahaja yang bergema.

Hari bapa pergi juga
tiada istimewa
datang sehari dan perginya juga sehari
seperti hari-hari lainnya.

Terima kasih.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
16/06/2014.

SAHABAT


Sahabat, fahamilah erti bersahabat. Sopan santun, budi bahasa, baik bicara. Hendak pula bila bersahabat di alam maya. Tanpa sempadan luhur, kayu pengukur.

Huluran persahabatan yang dihulur biarlah ikhlas. Salam bersalam, tegur menegur haruslah betul dan kena pada waktunya. Kerana tidak semua sahabat sentiasa 'online' duapuluhempat jam sehari di alam maya.

Tanggapan pertama amatlah penting dalam bersahabat. Usah memberi salam jika mahu bersengketa. Di kotak pesanan berbicara, mengata sombong kepada sahabat yang tidak sempat menjawab salam bicara.

Sahabat, nasihatku hanya satu. Belajarlah cara menghormati seorang sahabat. Maafkan aku jika engkau marah kepadaku sehingga engkau berkeputusan membuang persahabatan yang tidak sempat dibina. Yang engkau mula.

Maafkan juga kepada diriku kerana terpaksa menyekatmu. Bagiku tiada guna bersahabat jika sahabat tidak tahu menghormati sahabatnya.

Terima kasih.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
16/06/2014.

RINDU 69


Sunday, 15 June 2014

RENUNGAN


'Seorang bijak-pandai bukan terletak pada kata-kata dalam penulisannya tetapi terletak pada kata bicara untuk menjawab persoalan yang ada'

'Seorang bijak-pandai juga adalah orang yang akan bertanya jika ada perkara yang sukar difahaminya'

Renung-tenungkanlah.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
15/06/2014.

LIMA UNSUR


Aku hidu tanah
untuk menghasilkan pemikiran
dalam karya
penuh daya spekulatif
minda.

Aku ambil air
agar cecair yang mengalir
membasahi kanvas
pentas karya
ilusi.

Aku ukir kayu
agar ukiran yang tercipta
bermoral
mencacah dada ilham
imaginasi.

Aku telan api
agar panas yang ditelan
menyemarakkan semangat
di setiap petah
bicara.

Aku pegang logam
agar kekerasan yang kupegang
menjadi tunjang kekuatan
dalam diksi bahasa
wawasan.

Semoga lima unsur menyerlah.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
15/06/2014.

SENYUM TAK PERLU KATA APA-APA


Lain padang lain belalangnya
lain orang lain perjuangannya
lain pula cara fikirannya
malah lain pula akal penerimaannya

biarkan sahaja andaian pembaca
dengan daya imaginasi mereka
baru berkembang akal dan minda
tanpa perlu beria menyua

ada pelbagai cara bercerita
ada pelbagai episod berita
ada pelbagai maksud tercipta
ada beribu sketsa berwarta

rambut adakala sama warnanya
namun hati berlainan bahasa
bukan menyorok bicara dalam agenda
sekadar membuka minda pembaca

terkadang kita perlu menyorok di dalam semak
untuk melihat si ayam denak
memikat ayam hutan yang enak
dijadikan lauk masakan lemak

terkadang pula kita harus terbuka
dalam melihat umpan mengena
harus segera rapat mengikat kepala
agar habuan dapat dijadikan piala

namun bukan jahat maksud bercerita
hanya nasihat kepada yang empunya
memang mulut tempayan selalunya ternganga
selepas diguna tidak ditutup pula

biarkanlah apa orang nak kata
janji Allah tahu apa yang dibicara
kalau baik niat yang ada
maka baik juga kesudahannya.

Kalau susah hendak mencerna
jadikanlah hiburan semata-mata
kerana puisi ada nilai estetikanya
yang terpelihara maksud dicerita.

Dah lali dengan tohmahan manusia.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
15/06/2014.

Menulis


Aku menulis engkau pun menulis. Menulis tentang apa saja yang terilham dek akal dengan izin-Nya. Dari suku kata ke beberapa perkataan yang membentuk ayat-ayat bermakna dan semestinya mempunyai nilai tersendiri. Sama ada tersurat atau tersirat tentu ada mesej yang cuba disampaikan. Bila keputusan menulis diambil biarlah tulis itu bererti bukan hanya untuk diri sendiri malah ruang lingkupnya meliputi pembaca yang mengikuti penulisan itu.

Perkongsian dalam bentuk penulisan sering kali menimbulkan pelbagai andaian dan tanggapan yang berbeza dari maksud sebenar penulis. Kita tidak mampu menghalang pembaca membuat taksirannya, namun jika tafsiran selari dengan maksud penulis ia membawa maksud mesej yang cuba disampaikan penulis dengan jayaannya diterima pembaca.

Kekreatifan menulis dengan pelbagai unsur gaya bahasa puitis menunjukkan bakat dan kebolehan penulis, namun kejelasan maksud tidak harus diketepikan. Apalah makna sebuah penulisan andai kebolehsampaian maknanya sangat sukar dicernakan?

Berlenggang-lenggoklah dengan tarian bahasa biar rentaknya menunjukkan ketinggian mutu seni kreatif dalam menyampaikan makna.
Selamat berkarya sahabat SSZ.

CNM, 15/6/14

RAYUANKU


Mengundang mendung hitam
di langit siang
bagai mengundang nestapa
geruh menimpa
namun bila tanah mula gersang
kauundanglah
agar mendung bertamu
di atas jemala
rayuku.

Datangkanlah hujan.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
15/06/2014.



BULAN DI PIPI LANGIT


BARANGKALI SENASIB


Tokayah
dan beruknya
si comel
menumpang kasih
sesama.

Aku
dan muka-buku
berpuisi
menebar kasih
sesama.

Mendengar sapaan cengkerik kesiangan.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
15/06/2014.

SEKADAR MEMBACA


Sunyi
tiada kedengaran
di telinga
cuma ditonton
terhembur
berwarna-warni
pelangi
di paparan biru.

Mungkin nyenyak diulit mimpi.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
15/06/2014.

SENJA BERLABUH


MENTARI MENINGGI


Bulan gelap
di kamar usang
mimpi merewang
berbintang.

Embun tak hadir
mungkinkah mungkir
berbasa Inggeris
slanga Italy.

Colombia jauh
Greece saujana
Uruguay entah
Costa Rica hilang.

Diratah terang.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
15/06/2014.

Saturday, 14 June 2014

KUDA LIAR


Meringkik
bukan memekik
mendengus
bukan merungut
menghentak
bukan menumbuk
menyepak
bukan menerajang
menderu
bukan melayang.

Itulah gelaran aku
diberikan sifuku.

Ya ke?
Kuda pun kudalah
janji liar
bukan kepang.

Aduhai, macam mana nak buat bunyi kuda liar meringkik?

Prof Ariffin Mohd Ismail tolong!
Bapak Agi Ghafar Ibrahim tolong!
Cikgu Nik Mie pun bolehlah juga,
tolong!

Melolong pula aku.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
14/06/2014.

BERTEMU WAKTU


Kenapa aku sukakan gagak
dalam kebanyakan karyaku
aku pun tak tahu
mungkin ada tindakbalas kimia
antara gagak dan aku.

Petang ini tidak ketinggalan
masih terdengar pekikan sang gagak
di hujung telinga capangku,
ark ark ark agak laju
mataku terus saja mencuri tumpu.

Panas berbahang terang benderang
mencubit kulit serasa gersang
dua ekor gagak sedang berebut
nampak jelas segala serabut
di hujung padang konflik berlanjut.

Mungkin mangsanya katak terkangkang
jasad mengering hujan tak datang
atau mungkin juga menjamu belalang
hinggap di lalang tinggi meninjau
berhabuk petang padang kemarau.

Ahhh! Semakin kuat hidung berbau
aroma rindu setahun berlalu
kian mendekat terhidang waktu
di tangkai hati
rindu, serindu-rindunya bertamu.

Di panas kontang gagak mendulang
kemarau mendatang Ramadan menjelang.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
14/06/2014.

MEMAYUNG HASRAT


GURINDAM: JIKA KAMU MENGHARAP


Jika kamu mengharap salam,
terlebih dahulu kamu mulakanlah salam.

Jika kamu mengharap sokongan,
terlebih dahulu kamu berilah sokongan.

Jika kamu mengharap dikenali,
terlebih dahulu kamu haruslah dikenali.

Jika kamu mengharap pujian,
terlebih dahulu kamu berikanlah pujian.

Jika kamu mengharap ilmu,
terlebih dahulu kamu tuntutlah ilmu.

Jika kamu mengharap menjadi guru,
terlebih dahulu kamu hormatilah guru.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
14/06/2014.

BERNAFAS DI BAWAH LUMPURMU


Kata seorang guru
pengkarya harus berguru
agar dada berilmu
dalam karya terselit ilmu
utamakan mutu
hasilnya pasti bermutu
biar pembaca dijamu
minda terjamu.

Tambah guru
ambil sebanyak mana ilmu guru
agar tercipta suara dalam karyamu
lambang identiti karyamu
usah berseteru
baru dipandang rakan dan seteru
biarkan karya-karya kamu
memperlihatkan kewujudan kamu.

Ada benar kata guru itu
aku terima pesanannya itu
menjadi kekuatan aku
agar orang membaca aku
melihat aku
mengenali siapa aku
menjamah karya-karyaku
menikmati aku.

Namun aku hairan guru
kenapa orang yang dianggap guru
orang-orang berilmu
perlu menyorokkan kuku
di dalam ranjang, bertelanjang kaku
sehingga tidak kutahu
adakah mereka menerima aku
dan kewujudan aku.

Kalau salah diriku
tegurlah aku
tunjukkanlah kepadaku
di mana salah silapnya aku
kerana sebagai pengkarya baru
aku perlu tahu
aku perlu realistik selalu
kelemahan aku.

Terkadang sebagai pipit di padang semalu
aku perlukan asuhan para guru
bimbingan para guru
seperti kamu
untuk terbang bagai helang penghulu
meluncur laju menunggang bayu menderu
bukan berdecit di tangga kayu
sekali lalu.

Izinkanlah aku bernafas di dalam debu
di bawah lumpur bimbinganmu.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
14/06/2014.

Kerana Aku Seorang Lelaki


Kalau begitu aku angkat kaki
akan aku pergi tak kembali
tak ingin aku menyakiti
walau hati ini bagai besi
aku tetap ada peri.


Cukup sampai di sini
aku lelaki
ya lelaki yang ada akal budi
tak tergamak melukai
seorang wanita sepertimu yang terlalu suci.


Pergiku jangan dicari
pergiku jangan ditangisi
pergiku jangan dinanti
kerana sekali hati ini melangkah pergi
tiada tolehan lagi.


Akan kukuburkan kenangan ini
biar jadi sejarah yang menyaksi
pergiku untuk merawat hati
hati yang telah tertusuk duri
duri yang kaucacakkan ke dalam janji.


Benarlah menyayangi tak semesti memiliki
biarlah cerita ini tamatnya begini
luka yang berdarah akan kubaluti
biar ia berparut menjadi tanda tragedi
sebuah kisah yang mengecaikan sekeping hati.


Aku lelaki
yang tahu diri
yang sedar diri tak dihargai
kehadiran bagai melukut sepi
hanya titik hitam kaucari.


Terima kasih dewi
kekhilafanku penyeri harimu
kelemahanku penyubur egomu
kuundur diri
mencari yang lebih memahami.


CNM, 13/6/14