Wednesday 22 October 2014

MENANTI YB


Bunga manggar pacak di hulu
kawasan rumah cantik terjamu
rumput usah dibiar bersemalu
itulah pesan Datuk Penghulu
buat menyambut tetamu yang lalu.

Anak muda bermain kompang
kemas pakaian batik berlambang
terjenguk-jenguk lehernya panjang
tak sabar menunggu tuan yang datang
tetamu besar bukan sembarang.

Mercedes E200 menjulur henti
sekilas kasut silau meniti
Datuk Penghulu mengah berlari
kompang dipalu isyarat diberi
mengalu kedatangan YB Menteri.

Sambil melihat indah pandangan
senyuman dilempar tanda berkenan
kepada Penghulu tangan bersalaman
pipi bergesel bagai kucupan
sambil berbisik "cukup ke peruntukan?"

Kepada orang kampung engkau lagukan
berkat muafakat kampung contoh dianugerahkan
sebagai penghargaan usaha dilakukan
semoga kampung cantik akan berkekalan
dapat anugerah lagi tahun hadapan.

Ya-lah jumpa lagi di tahun hadapan.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
22/10/2014.

No comments:

Post a Comment