Saturday 18 October 2014

GURINDAM KERJA ITU IBADAH


Bismillah pembuka acara,
gurindam ini memulakan bicara.

Salam ke atas Nabi junjungan,
gurindam ini sekadar renungan.

Assalamualaikum kepada sahabat pembaca,
gurindam ini bukan berhukum cerca.

Allhamdulillah tangan menadah,
gurindam ini berbicara kerja itu ibadah.

Telah dilihat dengan mata kepala,
ramai siswazah tak tahu mana nak mula.

Di zaman perlumbaan menjadi raja,
bukan masanya untuk duduk bersahaja.

Yang miskin juga yang kaya,
harus berusaha sedaya yang upaya.

Tiada berijazah sijil diperaga,
carilah kerja untuk bantu keluarga.

Dalam berusaha doa juga harus dipohon,
kerja tak pernah menunggu pemohon.

Kalau tak dapat kerja mulakanlah menjaja,
usah menunggu panggilan kerja.

Usaha perlu digalaskan ke raga,
kerja tak dapat mulakanlah berniaga.

Biar berpeluh biarlah berdaki,
jangan bermalas duduk menggoyang kaki.

Untuk hidup kita harus bertarung,
nasihat ini untuk para suami pelepak warung.

Secupak tidak akan jadi segantang,
bukan menambah wang tapi menambah hutang.

Si isteri bertungkus lumus mencari wang,
si suami bertungkus lumus menghabiskan wang.

Pabila dikata mulalah bersuara lantang,
tapi minum kopi memang dari pagi ke petang.

Tengok dan pandang pada daun pandan,
sebagai ketua keluarga tunjukkanlah teladan.

Perangai tak baik buangkan ke sungai
agar si anak tidak terikut perangai.

Tundukkan kepala dahi di sejadah,
kerja itu-kan satu ibadah.

Janganlah pula ada hati berbara,
cukuplah di sini gurindam bersuara.

Segala yang baik datang dari Allah,
yang terasa di hati aku mohon dimaafkanlah.

Anak cina memakai sepatu,
berjumpa lagi di lain waktu.

Assalamualaikum penutup bicara,
aku berkata bukannya berkira.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
18/10/2014.

No comments:

Post a Comment