Monday 16 June 2014

AKU HANYA SEORANG JAGA


Aku sedar siapa diriku
tidak terpelajar tidak berilmu
pak pacak sajalah selayaknya aku
memegang cota penjaga pintu
dalam bangunan aku berlagu.

Belajar tak pandai
cita-cita tersadai
SPM kududuki kertas tak selesai
SAP sajalah mampu kupakai
kini tak laku di pajak gadai.

Dah tua bangka baru nak belajar
di alam maya cuba selongkar
nasib kubaik ada nak ajar
walaupun sukar kupahatkan engkar
kerana minat rela kukejar.

Alhamdulillah aku bersyukur
kepada Allah pemberi makmur
akal dipinjam berterusan subur
minda kucair terus meluncur
berjaya akhirnya menempa masyhur.

Namun sekalipun aku tak pernah lupa
kedudukan diriku di alam nyata
hanya menumpang ihsan Yang Esa
sambil bertugas menghimpun minda
menjadi dagangan paling berharga.

Gaji tak besar cukuplah makan
menyara keluarga dari kelaparan
ilham dipinjamkan jadi modalan
duit sampingan karya dagangan
walau tak banyak dapat sarapan.

Sambil berkarya kucurahkan ilmu
di alam maya mereka berguru
pernah kutegur sehingga berseteru
kini kutukar gaya teguranku
dalam puisi tegur berlaku.

Mereka yang faham tersenyum lebar
dapat menduga apa kulakar
yang tak faham pula kepala berdamar
benda yang baik dikatakan mungkar
di selekoh tajam gear tak tukar.

Aku tahu siapa diriku
aku juga tahu mana batasan aku
bini orang tak akan kugaru
kepada suami mereka telah kuberitahu
mereka hanyalah anak didikku.

Emmm! Inilah masalahnya
kerja pak jaga ada hati nak jadi guru
muka aku memang tak malu.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
16/06/2014.

No comments:

Post a Comment