Thursday 17 April 2014

KISAH GAGAK, BATU EMAS DAN AIR LAUT


Gagak terbang terlalu tinggi
membawa batu emas tersisip di kaki
hasrat di hati,
ingin jatuhkan ke dalam botol
mengharap naik aras air
dapat minum bersuaralah emas.

Tersasar tuju jatuhnya batu emas ke dalam laut
tenggelam ke dasar, laut menelan
tapi laut tidak pula naik arasnya
tiada terluak tiada cuak
tinggallah batu emas di dasar laut tidak tercari
kerana tiada isyarat akustik.

Gagak tetap meneguk
walaupun masin terasanya air laut
katanya, asalkan ada dari tiada
namun suara tiada beremas
suara yang serak semakin serak
rabak.

AK AK.

SAZALEE SULAIMAN
Nilai, NS
17/04/2014
08.40.


 Penerangan:
Pelajaran pertama di rangkap pertama adalah USAH BERCITA-CITA TERLALU TINGGI sehingga melepasi gunung dalam mengharapkan sesuatu yang boleh kita dapati dengan berpijak di muka bumi tidak perlu terbang terlalu tinggi untuk mendapatkan hasil yang maksima.

Pelajaran kedua di rangkap kedua jatuhnya nanti jika hajat tidak kesampaian akan menjadi sia-sia dan mendatangkan kerugian yang amat. Kerana peluang hanya datang sekali dan jika dilakukan dengan gopoh-gapah tidak melalui keupayaan dan kemampuan yang kita ada impak dari kejatuhannya amatlah besar. Pastinya apa yang kita harapkan dengan terlalu tinggi kita akan lakukan dengan membuat pengorbanan yang besar. Pengorbanan segala apa yang kita ada dan pastinya kerugiannya nanti amat besar jika kita tidak BERPIJAK DI BUMI NYATA. Tidak tercari ganti.

Pelajaran ketiga dari rangkap ketiga. USAH MELAKUKAN KERJA GILA DAN SIA-SIA. Kerana sesudah kita tahu kegagalan usaha kita, hadapilah dengan tenang dan berfikiran waras. Usahlah yang sia-sia kita ambil juga natijahnya ibarat tenggelamnya seorang nakhoda kapal biarlah tenggelam bersama kapalnya ke dasar laut,. Tidakkah ini kerja sia-sia dan gila? Masih ada lagi peluang untuk kita memperbaiki kesilapan kita seandainya kita mampu berfikiran waras.

"Buat apalah air laut yang diteguk sedangkan kita tahu air laut memang azalinya masin. Tidakkah kerja gila dan sia-sia?"

No comments:

Post a Comment