Saturday 30 November 2013

RESAH YANG GOYAH


50pp: Motivasi Pagi


Batu api!
Hais! Bukan pemula api
yang ni sikap manusia keji
tak boleh lihat orang menjadi
mula tak senang hati
cari jalan mencacah duri
timbulkan hasad dengki
memecah belah harmoni
jadinya kenali manusia begini
yang bermuka-muka baik hati
di belakang punya agenda sendiri
menyemai rasa benci
jadi barah yang menyakiti

CNM, 1/12/13, BBBangi.


PENTASAN DUNIA V


Engkau suka membaca
aku suka melakarkan bacaan,
engkau suka berkhayal
aku suka menciptakan khayalan,
engkau suka berkongsi sesuatu karya
aku tiada masalah malah tidak menegah,
engkau suka memplagiat karya orang
aku tak akan biarkan engkau bebas, bergebang.

Tiada rasa malukah?
Sedangkan engkau tahu
plagiat itu salah,
mencuri hasil minda berdarah
oleh pengkarya yang bersusah payah
mengikis, memerah
dan menarah.

Hargailah anugerah Allah
yang dipinjamkan kepada para pengkarya maya.

Sazalee Sulaiman ... 30/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

BIAR


LENA YANG RAJUK


Semalam
lena langsung tidak bertamu
di pembaringanku
kupejam mata berkali-kali
mengundang mimpi
hampa hingga ke titik akhirnya
mimpi pun enggan hadir
kerna lena tidak ingin menemani

Hati dibelit resah
rajuk mengisi ruang
tangis pun berkumandang
nanar mencari lena
malam beransur pergi
siang pula muncul kembali

Cahaya Laila
30 Nov 2013
Klang, Selangor

DIKUCUP RINDU

Rintik
memberunguti
bumbu

walang mencari 
daun nyiur
gugur 

awan nimbus
bercendawan 
datang

runcing
titisan sembilu
usung 

pilu... ,

DIKUCUP RINDU.

Sazalee Sulaiman ... 30/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.


BILA


Bila lidah kelu
untuk berkata-kata
biar saja,
mata berbicara
hati berbisik mesra
fikiran meneka-neka
apakah fikiran kita sama.
Bila ada rindu,
debar hati semakin laju
fikiran tak menentu
andai ada sayap
ingin terbang bertemu
bertemu dia yang
dirindu.

nukilanhati
sue
30/11/13

Yang Di Sela


Pernah main badminton beregu?
aku rasa ramai yang pernah
tahu tak ramai yang terperangkap
andai lawan memukul bola ke ruang antara
dua-dua saling mengharap
sudahnya bola jatuh ke gelanggang.

Nah! Yang di sela
memang sukar nak dijaga
di sela rahang
di sela kangkang
dua anggota terbilang
bisa membawa ke jurang kehinaan.

Hati-hati dengan yang di sela.

CNM, 30/11/13, BBBangi.

#haiga


PENTASAN DUNIA IV


Engkau melamar kisah Tun Teja
aku juga melamar kisah Tun Teja,
engkau melakarkan kisah asmaranya
aku melakarkan kisah legendanya,
engkau mengisahkan cinta buana
aku mengisahkan cinta manusia,
engkau mencipta Tajmahal cinta
aku mencipta tugu cinta darinya.

Engkau dan aku tiada beza
hanya berlainan genre-ceritera
usahlah citra dijaja-bangga
mahkota tetap di dada

bertitik pujangga.

Sazalee Sulaiman ... 30/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

PENTASAN DUNIA III


Engkau memberi contoh
aku jadikannya teladan,
engkau mahukan yang terbaik
aku cuba buat sebaik mungkin,
engkau menyuruhku berjalan lurus
"aku cubalah berjalan lurus",
engkau si raja kerajaan ketam
aku hanya rakyat kerajaan ketam,
engkau kembali berjalan ereng kanan
aku tersenyum mata menjeling sakan.

"Nasib baiklah tak juling!"

Juling apa?...juling itik.

Sazalee Sulaiman ... 30/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

PENTASAN DUNIA II


Engkau di bawah sebagai juri
aku di atas sebagai pendeklamasi,
engkau mencatat isi terperinci
aku mempropagandakan isi secara terperinci,
engkau menjatuhkan kritikan berduri
aku hanya inginkan kritikan tanpa duri,
engkau mencemuh puisiku sesuka hati
aku hanya mengangguk, walau pedih di hati,
engkau mengangkat kaki, pergi
aku mengangkat kening bukannya kaki.

Engkau melempar mawar berduri
aku menyambutnya dengan darah di jari.

Sazalee Sulaiman ... 30/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

INGIN KULAKARI


Bagai si pari-pari
cantik berseri
memetik Mawar berduri
idaman hati
harum mewangi.

Andai saja aku
seceria si kecil ini
ingin kunikmati
indahnya hidup ini
tanpa sekelumit
luka di hati.

Ingin kulakari
di aksara ini
saat damai menghiasi
ingin jua aku memaknai
setiap yang mendatangi.

ZIE 30 NOV 2013


50pp: Motivasi Pagi


Fitnah memfitnah
perbuatan yang jelas salah
ia bukan ajaran Rasulullah
pun berdosa besar di sisi Allah
jauhi perlakuan yang memecah belah
ia membawa punah
kesannya sungguh parah
membuak lahar amarah
api dendam membarah
perpaduan dicacah
keharmonian disasah
silaturrahim berkecai pecah
jadi mari bermuhasabah
sama-sama tinggalkan sikap bawa padah
jaga lidah

CNM, 30/11/13, BBBangi.


DUSTAMU


Jujurlah dalam berbicara
usah berdalih
mencipta pelbagai alasan
akhirnya menyerlahkan pendustaan.

Pergilah...bawa bersama dustamu
jauh dariku.

Dustamu undang kesedihan
undang kepiluan
pergilah...kurelakan
walau relung hatiku
dibaluti kelukaan.

ZIE 29/11/2013


PENTASAN DUNIA


Engkau di bawah
aku di atas,
engkau dikelami lampu malap
aku dibahangi lampu limpah,
engkau duduk menggigil
aku berdiri berpeluh,
engkau mendengar suara
akulah yang sedang bersuara,
engkau tak faham
aku cuba memahamkan,
engkau tak suka
aku tak boleh berbuat apa-apa.

Lumrah manusia!
...nafsu sering mendahului minda.

Sazalee Sulaiman ... 30/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Friday 29 November 2013

SAYANG


SUARA HATI


50pp: Motivasi Malam


Semua orang berpotensi
ada kelebihan yang tersendiri
yakin pada kebolehan diri 
sentiasa bermotivasi
jadinya cubalah capai visi
dengan menggerakkan pelbagai misi
jangan berlengah lagi
banyakkan memerhati
jalankan ujikaji
dengar, kaji dan teliti
perbanyakkan amali
pilih tindakan menepati
pastikan guna keadah yang terkini
capai prestasi yang tertinggi
tentu dapat tingkatkan produktiviti

CNM, 29/11/13, BBBangi.


DI PELABUHAN-MU


...lalu di senja ini
aku kembali berlabuh di pelabuhan-Mu 
menghamparkan bentangan harap
dalam syukur yang panjang
kerana di maghrib ini
dan untuk kesekian kalinya
aku masih lagi mampu bersujud
untuk terus menghadap-Mu
dalam doa taubat
yang tak pernah tuntas.

Qalam Bertinta
Klang
29112013
1927pm

TEMAN


Teman...
kauada tika kusuka
kauada tika kuduka
gurauanmu...
menghiburkan hati ini
denganmu aku tak
pernah rasa sunyi...
walau kita berjauhan
tetap ada dalam ingatan,
kaulah teman
kaulah kawan
kaulah sahabat.

nukilanhati
sue
29/11/13


HUJAN


Hujanlah lebat hujan
basahi hatiku basuh lukanya
biar darah merahnya mengalir
ke pelusuk lembah dan sungai
tergamamlah rimba
dek merah sungainya.

Hujanlah lebat hujan
raunganmu rekah di hatiku
rintikmu memedih rasa
taufanmu senduku yang gila
hujan turun lagi
bersama tangisan sepi

Cahaya Laila
29 Nov 2013
Klang,Selangor

PANTUN MEMANCING KASIH


Terik mentari di waktu petang,
kulit terbakar minda berdarah;
Serik mencari si Ratu Bintang,
sulit terlakar di dada pasrah. 

Melukah ikan berjamu nangka,
di kawah hangit bergayung cawan;
Mungkinkah akan bertemu muka,
di bawah langit berpayung awan.

Sazalee Sulaiman ... 29/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.


50pp: Motivasi Jumaat


Khatib membuat seruan
tinggalkan keseronokan
yang membawa kemudaratan
pun juga suatu pembaziran
rokok dan sisha yang membahayakan
telah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan
berdasarkan hasil penyelidikan
juga saintifik punya penemuan
terbukti ia menyebabkan kerosakan
hadis dan quran juga berpesan
janganlah kita membawa diri ke lembah kehinaan
jauhi segala tegahan.

CNM, 29/11/13, BBBangi.


KASIH YANG HILANG


Kutinggal duka ini
dari serpihan semalam
kulontar rindu ini
dari menghuni perasaan
kuhapus wajahmu
yang bermain di mataku
kusisip janjimu
di tabir cinta yang hilang
dan...kasihmu hanyalah
sekadar di pinggiran.

nukilanhati
sue
29/11/13


50pp: Motivasi Pagi


Semua orang nak ligat
tapi apa boleh buat
usia semakin meningkat
adakala kita ditakdir tak sihat
di kala usia tua lagi cepat penat
nak bangun tak larat
tiada tenaga hilang kudrat
jadinya bawalah berehat
jangan dilupa makan ubat
lakukan senaman biar berkeringat
tubuh badan kembali kuat
dapat mencari rezeki beribadat

CNM, 29/11/13, BBBangi.


TANAH HAKIKAT


Di tanah ini kita menumpang bernafas
menghela kudrat dalam memaknai hidup
dengan suara hanya seorang manusia pinggiran
cuba melaungkan ke dada langit tentang kehidupan
yang menagih bukan sedikit pengorbanan
untuk membentuk sahsiah diri dalam aturan hakikat.

Perjalanan ini tidak panjang seperti yang disangka
pun dalam mengejar usia yang sering terikat dengan waktu
syariat kehidupan usah bertempiaran di tendang nafsu
hidup ini punya tunjang untuk dijunjung
dan punya paksi untuk kukuh menancap iman
lalu gerangan apakah hinggakan engkau terlupa tentang ikrarmu
lantas membesit dosa dalam laluan menuju ke perhentianmu
sedang kesal engkau injak dengan kaki sombong
terbenam di petala tujuh dada ingkar.

Tanah ini tanah hakikat
punya syariat yang terikat
pun punya nafas yang bersambung zuriat.

Qalam Bertinta
Klang
29112013
1031am

UNTUNGNYA SI BANTAL PELUK


Di malam dingin
di perbaringan ingin
bantal peluk beruntung
walau busuk dan maung
tetap diusung
dicium
bagaikan bunga menguntum.

Walau peta bernaung.

Sazalee Sulaiman ... 29/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

NASIB PEMUISI SIBER


Di atas pentas aku berdiri
mendeklamasi puisi sepenuh hati
cuba menarik penonton menjiwai
karya spontan bahasaku basi.

Di bawah pentas, penonton menyepi
mungkinkah mereka keasyikan, menjiwai
atau terlopong tidak memahami
karya yang dilabel; syok sendiri.

Juri-juri berborak sesama sendiri
tidak tertarik lagaknya hati
juri bukanlah calang orang mengadili 
juri dari ahli bahasa era terkini.

Aku tersungkur, duduk di lantai sepi
mengenang nasib puisi yang aku deklamasi.
Kuharapkan kritikan dari para juri
namun kritikan dinanti terus sahaja menyepi.

Kerana belumpun habis aku mendeklamasi
juri-juri telahpun angkat kaki
tinggallah aku keseorangan di pentas sunyi
tertanya-tanya di dalamnya hati.

"Puisi akukah yang tidak menarik hati juri?
...atau akukah yang tidak digemari?"

Sazalee Sulaiman ... 29/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

Thursday 28 November 2013

GAJI


Gajiku, gaji rakyat
tidaklah hebat
tapi cukuplah syarat
berbaloi memerah kudrat
urat berkarat.

Aku bersyukur
walau terpaksa akur
sebab itu selalu kucukur
kepala botak berjalur
poket kucongak-ukur.

Cukup-cukup makan sahaja
setelah sekian lamanya
kenaikan tiada
dapat 1% jumlahnya
berbaloi dari tiada.

Walaupun sedikit
aku tidak mengungkit
cuma mataku terkenyit
mulutku terlopong berdecit
terkumat-kamit

ada yang akan dapat gaji membukit
mengalahkan gaji Perdana Menteri; tersabit.

Cuba cerita sedikit!

Sazalee Sulaiman ... 28/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

TERASA DAULAHNYA


RUSIE


BICARA CINTA


Bagai pari-pari
menjelma tak di jangka
begitulah dirimu...
hadirnya tak diduga,
seiring senyum
menyapa...
bertitip pesan
bicara,
aku telah jatuh
cinta...
indahnya.

nukilanhati
sue
28/11/13


TERINGIN


Sesekali kurasa teringin
menyusuri pantai Teluk Ketapang
dalam dingin hembusan bayu
gelap malam tidak terasa
dengan alunan desiran ombak
mesranya dikau
memeluk rapat tubuhku
menggenggam erat jari jemariku
sambil membisik kata
menghembus nafas lega

Pantai Teluk Ketapang
itulah tempat pertama kita
memadu kasih mencurah rasa
sebelum dihanyutkan kasih lara.........

BS
13.55hrs
27112013

DI KEBUN TOK LONG V


"Bau ini
wangian asli
basah di pipi
keringat bersetanggi 
di tubuh kami 
Pak Tani

membajak bumi
sehari-hari
tiada rungutan diberi
hanya keluhan berbunyi
di tulang kami 
Pak Tani

asalkan anak bini
perut terisi
demi sesuap nasi
di pinggan besi
berkarat nadi, kami 
Pak Tani

hidup ini hidup kami
di dada berbakti
di hati budi
tanah ini menjadi saksi
perjuangan kami 
Pak Tani"

Monolog Pak Tani, aku perhalusi.

Sazalee Sulaiman ... 28/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.


RUSIE


RUSIE


NIKMAT PENGANTIN BARU

Sekuntum mawar
kupetik setangkai setiap waktu
menghiasi kamar perindu
aroma beradu
syahdu

kala engkau meneroka ghairahku
berbisik cinta di cupingku,
kalimah keramat;

'I love you'

terkasima aku.

Di minggu baru
malam Jumaat yang baru
dalam lembaran baru
engkau dan aku
mengecapi;

NIKMAT PENGANTIN BARU.

Sazalee Sulaiman ... 28/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.


Maha Agung


Lihatlah
sinar mentari itu
tidak pernah terlewat
tiba memberi cahaya
menggerak segala

Pandanglah
arus air itu
terusan mengalir
penghilang dahaga
serata alam subur melata

Hiruplah
segar udara itu
sentiasa ada mencukupi
buat meneruskan hari
berbakti pada Ilahi

syukurlah anugerah-Nya yang Maga Agung.

CNM, 28/11/13, BBBangi.


KERANA SETITIK NILA


Halaman indah
makmur dan subur
warganya aman
sentiasa bertegur sesama
bergurau-gurauan.

Semakin melimpah
pengembara bertandang
hamparan dibentang
permaidani sepanjang jalan
kehadiran dialu-alukan.

Semoga nanti
pengembara mengerti
setiap perhentian
ada undang-undang tatacaranya
mohon diikuti.

Saranan diberi
menjaga perbendaharaan
agar nukilan
cantik terhidang
indah persembahan.

Elakkan permusuhan
ego ketepikan
terimalah teguran
untuk kebaikan
janganlah nila hendak dititiskan

susu sebelanga sudah pasti
akan tercemar.

Sazalee Sulaiman ... 28/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

50pp: Motivasi Pagi


Rasanya
semua orang mahu bahagia
sedaya upaya elak dari derita
mahu dijauhkan dari malapetaka
jadi cuba sebaik mungkin berusaha
tidak memasang agenda
jangan bermain sandiwara
usah memulakan sengketa
bertoleransi sesama
kerjasama diutama
tentu persekitaran jadi ceria
menambah keseronokan bekerja
pun keluarga aman sentosa
sejahtera meniti masa
hidup dimulia dalam reda-Nya.

CNM, 28/11/13, BBBangi.


HAMPA


Serumpun kasih yang kuberi
kaubiar ia layu kekeringan
bagai sampah terbuang
tiada nilainya aku...
sepohon sayang kutanam
untukmu kuhadiahkan
kaubiar mati ketandusan
di tanah gersang engkau
lemparkan,
hampa....

nukilanhati
sue
27/11/13


Wednesday 27 November 2013

50pp: Motivasi Malam


Sebelum terlena
di malam yang gelita
perhitung segala yang diusaha
semalam adakah tersangat cakna?
hari ini adakah lebih bermakna?
hari esok apa bekalan di dada?
sebelum terpejam selama
dirikan solat yang lima
berzakat membersih harta benda
berniat jadi tetamu-Nya walau sekali cuma
agar kita tiba di sana dengan bercahaya muka.

CNM, 27/11/13, BBBangi.


KOSONG


Cuba melakar
di dalam minda
mengukir lukisan
di dada kanvas
ingin membentuk rasa
dengan tinta aku bicara
tapi kosong belaka...
seusai kata tiada erti
kuusung duka biar
bersendiri.

nukilanhati
sue
28/11/13


SUATU PAGI


Aku menjadi pemerhati
di Dewan Psiaktri
suatu pagi di Hospital Taiping
melihat gelagat
mundar mandir
ketawa terbahak-bahak
desing menggelegak
diam membungkam
senyum memanjang.

Aku duduk di bangku
mengelamun menunggu
angka giliran
ada risau yang tebal
kecamuk jiwa
berbisik teka teki
membayang tragedi.

Aku terkedu
ada haru di dada
mendengar sapaan
lelaki tua berkaca mata
” Tanjung Rambutan
lu ada pigi ka?
satu hali ampat kali makan
manyak syiok ho... ”
seringainya menunggu jawapan.

Aku mengangguk
berbasa basi mencari erti
menatap bening matanya
dan imagiku
melakar cerita
duka laranya yang tersimpan.

Seandainya
orang mencari bahagia
cukup dengan makan yang teratur
dengkur tertidur
hanyut dalam halusinasi
lebih indah menjadi gila
tanpa perlu memikul beban
dari menjadi manusia sempurna
yang gila dalam kuasa
lupa mencanai rasa.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
27 Nov 2013

50pp: Motivasi Petang


Petang ini 
tentang isu cinta diseligi
apa yang nak ditangisi?
apa yang terus dikesali?
tentang cinta yang dikhianati
ia meracun sanubari
ia merosak nurani
memakan damai hati
sangat rugi
sedang yang mengkhianati
ketawa melepaskan diri
hilang berjoli
tinggalkan sisa dan membenci
tidak mempeduli
kasihanilah diri sendiri
kamu masih ada Ilahi.

CNM, 27/11/13, BBBangi.


KUSINGKAP TIRAI KENANGAN


Kusingkap tirai kenangan
yang telah melewati
batas waktu
hanya tinggal sisa kenangan
saat manis di ketika itu.
Dahulu, hadirmu kunanti
kini dikau
semakin menjauhi
telah dikau jelasi
aku sedia memahami
akukah yang berjauh hati
atau dikau ingin menjauhi?

Ada ketikanya
terdetik rasa sedih
terdetik jua rasa rindu
rindu akan detik itu.
Akan kuabadikan
akan kusematkan
memori itu di sanubariku.

Kurelakan detik itu pergi
aku sekadar
menyingkap tirai kenangan.

ZIE 27/11/2013


GUNTING DI DALAM LIPATAN?


Ikut kamulah!
...aku tidak memaksa
menerima setiap bicara
di dalam karya
aku berkata

mengajak pembaca 
meneroka isinya
berikhtiar sebelum menggunakan kuasa
keunggulan jiwa
diperkasa

berfikir 
sebelum menjelir
agar pelir
tidak terpamir
di mata, semua yang hadir

aku hanya,
berkata yang benar
walau kutahu
ada yang terasa onar
bicaraku, bagaikan nanar

sekarang berfikirlah kamu
yang pahit atau yang manis
akan menjadi ubat diabetes
jangan sampai terpotong; 
di pangkal betis.

Elakkan tragis jauhkan ekstrimis.

Sazalee Sulaiman ... 27/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

MELAYU


Melayuku usah melatah
usikan itu rempah
asam garam dilapah
dikunyah
terkulum di lidah.

Buat-buat tak faham sudah!

Sazalee Sulaiman ... 27/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

MELAYUKU ISLAM


Kalau mengata agamaku
aku pasti melenting
agamaku bukannya gasing 
yang kauboleh pangkah dan pusing.

Kalau memaki Nabiku
darahku akan menyirap
semangat akan meruap
bak cuka dilimpah ke kurap.

Kalau merembat nama Tuhanku, Allah
aku pasti tak akan berdiam
kerana dalam diam
agenda masa hadapan terendam, di dalam.

Nak mengata dan menyamakan
bangsa melayuku seperti haiwan
silakanlah, aku tak melawan
melenting; melayan kerenah lawan

kerana aku tahu 
melayu Islamku tidaklah lemah
yang remeh-temeh
bak ulam dan asam-garam
sering dijamah.

Cuma jangan disumpah-seranah.

Sazalee Sulaiman ... 27/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.

50pp: Motivasi Pagi


Sebut tentang cinta
wah! Senyum nampaknya semua
barangkali ramai sedang bercinta
ingat sahabat cinta itu penuh pancaroba
jika bijak ia bawa bahagia
jika leka ia bawa derita
cinta perlu dibaja
cinta bukan hanya pada sebutan semata
ia perlu berserta tingkah seikhlas jiwa
andai hanya ucapan semata
cinta jadi racun berbisa.

CNM, 27/11/13, BBBangi.


Tuesday 26 November 2013

50pp: Motivasi Malam


Selagi berbaki nyawa
usah biar diri derita
terperosok di penjuru duka
bersama secebis tisu mengelap air mata
tanpa berbuat apa-apa
jadilah insan yang bermakna
pada diri, keluarga, bangsa dan agama
berdiri setanding mereka yang berjaya
sekurangnya tidak mengecewa hati sesiapa
ayuh! sama-sama kita berlumba
menggapai puncak jaya
ikhlas menurut syariat-Nya.

CNM, 26/11/13, BBBangi.


EPIDEMIK HATI


Tadi... , 
di senja nan merah
sempat lagi
aku dongak ke langit tinggi
merenung di dalam hati
sambil menghitung tompokan awan
yang semakin tenggelam
ditelan
langit temaram
buram.

Ah!...indahnya langitmu
Tuhan.
Aku...aku bersyukur
seumpama sekuntum bunga matahari 
kehilangan cahaya
pasti merindui
terbitnya sang mentari
di subuh hari
sunyi.

Malam ini aku matikan diri.

Sazalee Sulaiman ... 26/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.


50pp: Motivasi Petang


Duduk dulu sebelum berlunjur
usaha dulu sebelum masyhur
tanak dulu sebelum jadi bubur
pendek kata buat kerja kena teratur
elak dari kelihatan berterabur
dari situ keperibadian diukur
sebelum jatuh tersungkur
cubalah akur
kena pandai mengatur
biar sedikit lelah mencatur
asalkan kita mengikut lajur
tak tergelincir dari alur
tak jadi mundur

CNM, 26/11/13, BBBangi.


DI KEBUN TOK LONG IV


Tanah ini tidak kosong
bercangkul sambil berkelong
campuran Bugis berepik Mak Yong
joget dan rambung

Siam di hujung-selat di Tanjung
tambak penghubung
lautan luas lagikan berbelon-dayung
dari Borneo hingga Semenanjung

nak kan sagu dipecahkan ruyung
kerana muafakat sering dilambung-laung
tigabelas negeri-tiga wilayah bersambung
di panji di-Pertuan Agong

orang-orangnya tidak sombong
budaya hidup sering bergotong-royong
dulu pucuk ubi dan rebung
sekarang KFC dan bertih jagung.

Sekarang kenapa?... ,
anak-anak muda seolah terlupa hitung
budaya luar diagung-sanjung
congkak dan tenteng tidak terjamung.

Di kebun tok long aku termenung.

Sazalee Sulaiman ... 26/11/2013
Nilai, Negeri Sembilan.