Tuesday 27 August 2013

SATU DALAM SEJUTA (Puisi ingatan buat allahyarham RHD)


Aku kembali ke daerah ingatan
dan di waktu langkahku yang masih bertatih
engkau hulurkan tanganmu
membimbing dan menunjukkan arah tujuku
untuk aku kenali akan setiap lorong
lorong yang katamu
akan membawa aku ke suatu aras
aras yang meletakkan aku
pada duniaku sendiri.

Ingatan itu masih ada
dan biarpun dalam musim yang berubah
ingatan itu akan sentiasa ada
itu aku pasti
kerana engkau adalah satu dalam sejuta
yang mempamerkan keikhlasan hati
juga ketulusan budi
dalam menghulur dan memberi
tanpa nama besarmu yang membatasi.

Aku akan sentiasa berada di daerah ini
daerah yang mempertemukan kita
biar cuma di gerbang maya
namun itu bukanlah tembok pemisah
untuk aku melupakanmu
kerana engkau
adalah satu dalam sejuta.

Al-fatehah buatmu
moga damai di sisi Penciptamu.

Qalam Bertinta
Klang
27082013
0909am

No comments:

Post a Comment