Monday 26 August 2013

KESUSASTERAAN DAN KITA. pada 26hb Ogos 2013 pukul 3.23 ptg

Dunia sastera telah bertapak lama sebelum mula diperkembangkan di tanah air kita Malaysia. Awalan dunia kesusasteraan tercipta sebelum tahun 1800 Masehi. Sastera awal adalah berbentuk Sastera Tradisional (Klasik dan Lama).


Contoh Sastera Tradisional yang amat dekat dengan kita adalah kisah dari Penglipur Lara. Penglipur membawa maksud penghibur, manakala Lara pula bermaksud duka atau kesedihan hati. Daripada cantuman dua kata ‘Penglipur’ dan ‘Lara’ membawa pengertian cerita yang menghiburkan orang dalam kesedihan atau dukacita.

Cerita Penglipur lara dikenali juga sebagai ‘folklore’. R.O Winstedt menamakan penglipur Lara sebagai roman rakyat (flok ramances). Cerita Penglipur Lara ialah cerita-cerita roman yang mengandungi unsur “adventure”. Biasanya cerita berlegar di sekitar golongan istana atau golongan-golongan putera-puteri, cerita raja dengan segala gambaran keindahan, kemewahan, kesaktian serta kejadian-kejadian yang luar biasa (“supernatural”).

a: CIRI-CIRI CERITA PENGLIPUR LARA

Cerita penglipur lara yang kita dapati melalui kajian terbahagi kepada tiga bahagian. Di mana ciri-ciri ini dilihat dari segi tema, malah cerita penglipur lara ini juga berpusat di kalangan putera-puteri Raja serta cerita ini mempunyai ciri-ciri berbentuk prosa dengan selingan puisi.

b: DUNIA SASTERA

Dunia sastera telah melalui proses permantapan dari zaman ke zaman iaitu tiga zaman yang pernah dicatatkan di dalam sejarah sastera iaitu:

1) Zaman lisan/purba

Puisi (Milik Melayu asli):

          Pantun/talibun
          Bahasa berirama
          Perbilangan adat Perpatih
          Rangkait
          Ungkapan
          Dendangan
          Teka-teki
          Bahasa kiasan
          Nyanyian kanak-kanak

Prosa:

          Cerita rakyat (asal usul, binatang, jenaka, lipur lara, hantu)
          Mitos
          Legenda
          Teladan
          Hikayat
          Panji
          Epik
          Adat istiadat

2) Zaman pengaruh Hindu/India/Sanskrit/Budha

Puisi:

          Seloka
          Gurindam
          Jampi mentera

Prosa:

          Hikayat
          Panji
          Epik
          Ketatanegaraan

3) Zaman pengaruh Arab/Islam/Jawi

Puisi:
Syair
Nasyid
Nazam
Ratib
Masnawi
Rubai
Qitah
Teromba

Prosa:

Undang-undang
Ketatanegaraan
Adat istiadat
Hikayat
Agama
Kitab
Epik
Panji
Sejarah.

c: PENELITIAN SEJARAH SASTERA TANAH AIR KITA:


Penelitian terhadap perkembangan kesusasteraan Melayu moden dari tahun 1970 hingga 1979 telah diselidiki dan dibincangkan dalam Kolokium Kesusasteraan Melayu Moden III anjuran Bahagian Kesusasteraan Moden, pada 21 hingga 23 Oktober 1999. Hasil kolokium itu, sebanyak 21 kertas kajian telah dibincangkan dan dikumpulkan dan dijadikan buku dengan judul Kesusasteraan Melayu Moden 1970 – 1979.

Makalah pertama yang mengisi buku ini adalah tulisan Baha Zain, yang berjudul “Kesusasteraan Melayu Moden 1970 – 1979 Satu Ziarah dan Renungan”. Hamzah Hamdani menulis tentang Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dalam peranannya menghidupkan dan menggerakkan organisasi pengarang di Malaysia. Sumbangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kepada perkembangan kesusasteraan Melayu sepanjang 10 tahun ini dibicarakan oleh Zalila Sharif dan Zulkeply Mohamad.

d: SASTERA DAN KITA:

Sastera bukan suatu yang sia-sia, seperti dakwaan segelintir kita. Junjungan mulia Nabi Muhammad SAW juga amat menggemari sastera zaman Baginda, dan Baginda pernah meminta supaya ia diperdengarkan. Saidina Umar al-Khattab pernah menyebut : Syair itu ilmu suatu kaum, tidak ada suatu ilmu yang lebih benar daripadanya. Tatkala Umar menasihati anaknya, Abd Rahman beliau berkata: Peliharalah kecantikan syair, maka ia akan memperbanyak peradabanmu.

Jadi tanyalah kepada diri kita sendiri mahukah kita mempelajari apa itu sastera bukan sahaja dengan menulis apa yang kita katakan puisi dan sebagainya tanpa mahu mengambil tahu tentang gaya bahasa, personafikasi, anafora apatah lagi nilai-nilai estetika yang harus terhasil di dalam sesebuah karya.

Sekiranya jawapannya YA, maka marilah kita belajar selok belok maksud SASTERA itu sendiri. Dan dalam belajar kita haruslah berguru kerana seelok-eloknya pula pelajaran tanpa berguru tiadalah berkembang ilmunya.

Carilah guru yang dapat membimbing kita cara-cara dan bagaimana untuk memahami sesebuah karya dan berkarya. Manakala sebaik-baik guru pula adalah yang sudi berbahagi ilmu, memberi saranan-saranan yang mantap dan tidak memperlekehkan anak murid apatah lagi pengkarya yang baru mula berjinak di dalam dunia kesusasteraan tanah air kita.

Renungkanlah.

Sazalee Sulaiman
Nilai, Negeri Sembilan
26/08/2013
jam 1515 petang.

No comments:

Post a Comment