Recent Posts

Sunday, 29 July 2012

LANGKAHAN PERTAMA


Melentur buluh biarlah dari rebungnya
menghembus serapah, hembuslah di ubun kepalanya
alang-alang basah biarlah lencun dek air bah yang menimpanya
seandainya berdarah biarlah hingga ke titisan terakhirnya
jika kita berdakwat biarlah kering di mata penanya
dan! ... ,
seandainya berbicara biarlah yang tepat segala fakta fatwa pujangganya.

Janganlah berundur kalau sudah kita - yang memulakan langkahan pertama.

ss/spl/pm ... 28/7/2012.


BAHTERA SEMILIR


Seindah Tasik Kenyir
aman dan damai suasana yang hadir
membelai jiwa di kala hati berzikir
kerinduannya aku, seorang fakir
berpayung mendung, meganya sedingin air yang mengalir
Abang dan Sayang;
berjanji setia - cinta dan kasih kini terukir.

Bahtera mahligai ... berlayar ditiup angin semilir.

ss/spl/pm ... 28/7/2012.


KEBOSANAN MENERJAH


Puas!
Aku puas
puas sudah kupusing
puas sudah aku belek
setiap halaman yang tersedia
di dalam halaman mukabuku
tanpa wajah - tanpa kisah
tanpa faedah - tanpa bicara sepatah jadah;
ahh! ...aku resah!
Gelisah - hilang arah
hanya kebosanan menambah parah
hanya kebosanan kian menerjah
aku semakin gelisah ... ,
perlukah? ... perlukah!!
Aku ... mengundurkan diri
dari!!! ... dari terus - terusan menghiasi
setiap halaman
yang semakin menghimpit resah; gelisah.

Ahh! ... aku pasrah
air di muaraku
semakin menggila dasarnya
walau di permukaannya
tampak tenang tiada hemburan.

Aku kehilangan - diriku, di dalam setiap lembaran halaman.

ss/spl/pm ... 29/7/2012.

LAIN YANG DIHAJAT LAIN PULA YANG DAPATNYA


Dari Taman Cempaka ke Nilai 3
hajat di hati ingin berbelanja
punyalah seronok tidak terkira
anak-anakku bersorak gembira.

Sesampai sahaja di Nilai 3
seperti yang kusangka sesak akan menggila
punyalah ramai yang turun berbelanja
sehingga Polis Trafik turut bertugas sama; di sana.

Namun langkahan aku langkahan berdurja
langkahan kaki kiri memainkan bicara
baru kumasuk ke kedai pertama
bekalan elektrik terputus secara tiba-tiba.

Apa yang dihajat tidak kesampaian jua
membeli baju anak-anakku untuk beraya
nak masuk ke dalam kedai tidak diberikan kebenarannya
tokeh kedai takut ada yang turut mengambil kesempatan sama
mencuri dan menyamun di dalam gelap gelita.

Hendak tak hendak aku berbelanjalah juga
yang di kaki lima dipamirkan sedia ada
satu set cadar tilam bujang RM10 harganya; aku beli dua sahaja
jam dinding bermotifkan Asia Barat juga RM10 harganya; satu sahaja
alas kerusi ruang tamu satu set RM45, satu set sahaja
kasut raya untuk anak-anak bujangku RM25 sepasang seorang sahaja
baju-baju raya pula! ... nampaknya kena tangguhkan di lain harilah kira jadinya.

Hai! ... lain yang kuhajatkan lain pula yang dibelanja
nak buat macam mana!!
Takkanlah nak pulang dengan tangan kosong sahaja!
Kesian pula anak-anakku yang telah pun bersorak gembira
pada awal ... awal mulanya.

InsyaAllah minggu hadapan ke Nilai 3 jugalah gerangannya; berbelanja.

ss/spl/pm ... 29/7/2012.

Saturday, 28 July 2012

ISTANA HATIKU


Istanaku tersergam indah
kukuh binaannya
memasak bumi di lereng pergunungan
tinggi - menggapai awan
putih, bersih dan dingin
sedingin salju yang jatuhnya berguguran
namun! ... sunyi, sesunyi belantara
melitupi dan menghadang pandangan mata
tidak terjangkau
dek penakluk yang ingin menaklukinya.

Begitulah gambaran - istana di hatiku ini.

ss/spl/pm ... 26/7/2012.


KOTA HATIKU


Kotaku bersih
aman dan damai
subur tanahnya
makmur kehidupannya
rakyatnya ramah
tamah dalam pergaulan
bertegur sesama
tidak lokek senyuman ... menguntum di wajahnya
bergotong royong, bantu membantu ... saling bahu membahu
keikhlasan menjadi pegangan landasannya
sehinggalah ... ,
kotaku maju
dan terkenal seantero dunia
dengan keramahan penduduk; penghuninya.

Begitulah kota di hatiku ini yang segar tiada seteru - bertamu.

ss/spl/pm ... 27/7/2012.


LAUTAN DI HATIKU


Luas - tiada berbatas
berhias - sentiasa beralas
pengucapan berkias
terhias - di wajah yang ikhlas
senyuman sehebat lautan yang luas
berenang di wajah yang bebas
setiap sapaan pasti berbalas
tidak pernah terculas.

Lautan di hatiku beraliran deras, cergas, buas tidak pernah puas.

ss/spl/pm ... 27/7/2012.


PAK PACAK


Subuh merangkak
suria terpacak
cahayanya menapak
di celahan dedaunan masa ia tegak; menegak
berbaur embun yang masih berbekas di bekasan lecak
rindu berpetak
hijau di puncak pundak.

ss/spl/pm ... 28/7/2012.


Friday, 27 July 2012

SEKALI ...JA LAGI


Ahh!
bosannya aku
dengan cemburumu
dan sikap - panas baranmu itu
ianya
amat keterlaluan - bagiku.

Sekali ...je lagi!

sekali ...je lagi!!!
Aku akan pastikan
yang engkau
akan tahu sendiri.

Sekali ...je lagi!!!!
Engkau tengok ...jelah nanti.

ss/spl/pm ... 24/7/2012.

PERJALANANKU DI LERENG BERLIKU


Lereng berliku
kakiku terpaku
jerlus betisku
tebingnya berdebu
berlumpur padu
menyekat pergerakanku
lumpuhnya aku
terpasak bagaikan seketul batu.

Lereng berliku tetap berliku
utuh dan kukuh di situ
walau berjuta rayuan dariku
di puncak rindu
lereng berliku tetap diam membisu.

ss/spl/pm ... 25/7/2012.


JAM 9.45 PAGI, HARI KE ENAM


Di sini
jam 9.45 minit pagi
aku berada di sini
di lereng tasik menghijau - airnya berkali
bersama selaras joran di sisi
menikmati keindahan alam Ilahi
mencuba-cuba nasibku ini
mengail sang raja tasik ... haruan dan keli,
toman barangkali -
penghuni lubuk di tasik yang damai ini
yang menjadi dambaan di hati
sambil merehatkan diri
menikmati dan mensyukuri rahmat kurniaan Ilahi
minda dibasahi.

Hari ke enam ... Ramadhan yang suci.

ss/spl/pm ... 26/7/2012.


KERANA SAKA KETURUNAN


Susun atur jati diri,
teratur rimbun pohon salasiah;
puteri mas galur gadis misteri,
senyumnya santun bertopeng di wajah.

Teratur rimbun pohon salasiah,
menjadi warisan zaman berzaman;
di wajahnya beraura sejuta amarah,
di hati pula bertemankan si luman.

Menjadi warisan zaman berzaman,
saka keturunan sebagai pendinding;
kepok dipuja berasap kemenyan,
mayangnya mengurai pelepahnya bergunting.

Di siang Ramadhan tertangkap di kedai makan.

ss/spl/pm ... 26/7/2012.


Wednesday, 25 July 2012

FATWA PUJANGGA, DI HATI BISU


Seringkali langit merah bergelora
menyentuh dada senja tatkala bahtera nirwana melabuhkan sauhnya
di birai kejora masih termangu akan jendela mata berkaca
menyambar tangkai hati akan fatwa sang pujangga
malapetaka apakah yang datangnya berhiba
bersama deruan taufan ...laungannya! -
bisu seribu bahasa.

Fatwa pujangga tetap akan berkata-kata, walau hadirnya - seketika tanpa bersuara.

ss/spl/pm ... 25/7/2012.


LUBUK BERHANTU BERTAHTA DI JIWAKU


Lubuk ini lubuk aku
lubuk kenangan rindu bertamu
lubuk menyimpan sejarah yang lalu
lubuk perindu dendam bersatu.

Lubuk ini lubuk mainanku
lubuk menyepi di kala beradu
lubuk Manikam, Jauhari yang tahu
lubuk asmara dicanai selalu.

Lubuk ini lubuk berkalbu
lubuk penara merimbun di hatiku
lubuk mengambarkan jiwaku yang celaru
lubuk petaka resah dan rindu.

Lubuk keluhan dendaman syahdu.

ss/spl/pm ... 25/7/2012.



Tuesday, 24 July 2012

PARUT YANG MENJERUT


Malam semakin larut
aku - kian hanyut
di alam khayalan aku berpaut
mencari diksi-diksi - untukku mencarut
mencipta aksara buat melarut
bersebati dan larut
di setiap larik yang kuparut
agar karut
tidak selamanya akan mengarut.

Ahh! ... penaku kian menjerut hatiku yang berparut.

ss/spl/pm ... 24/7/2012.




HANGATNYA CINTAKU


Sehangat muntahan bumi
yang mengalirkan larva berapi
kehangatan infiniti
panasnya yang tidak terperi
mencetuskan bebola api
dari api birahi
di dalam sukma hati
tercari-cari ... ,
aku masih mencari-cari
di manakah sang Kesumadewi
penaung mimpi-mimpiku ini.

Kembalilah ke dakapan aku ini, dewi.

ss/spl/pm ... 20/7/2012.


DEWI CIPTAAN MAYA


Gelora di jiwa berkata-kata
siapakah gerangannya
sang dewi tercipta
yang kupuja setiap masa
sehingga aku terlupa
celana kupakai
celana sang dewa raja
menerajui kota Zamrud bertepian desa.

Aku hilang ingatan kerana dia.

ss/spl/pm ... 20/7/2012.
 
 

AIRMATA LEMBAH KEHINAAN


Usah kaulinangkan
airmatamu itu
demi kerana aku
seorang insan yang hina
yang pernah engkau hinakan!
... demi kerana aku seorang pemuja
ya! ... aku seorang pemuja!!.
Yang memuja dirimu -
yang memuja
dan mengimpikan
belaian kasih dan sayangmu,
yang engkau pandang jelek ... berengsek
di pandangan matamu,
yang engkau nista
dengan pelbagai kata makian
dan cacian penuh kehinaan - seumpamanya aku
tiada berperasaan
diperlakukan semahu-mahu hatimu.

Kini - hapuskanlah airmatamu itu
kerana aku tidak rela
menakung dan mengempangkan
airmata yang berjujuran
bak air terjun yang jatuhnya
dari lembah kepalsuan.

Maafkanlah aku ... insan yang pernah engkau hinakan.

ss/spl/pm ... 20/7/2012.


SIANGKU YANG PANJANG


Senja tenteram
di langit jingga mataram
menggamit hati untuk bergurindam
merendam kelukaan silam
di samudera dalam
di lautan ilham
kenangan berbalam hitam
rindu dan dendam
tenggelam.

Kehangatan siang - kurasakan panjang.

ss/spl/pm ... 24/7/2012.


LAMBAIAN DESA


Aduhai! ... hatiku memberontak kini
perasaannya bergelora di jiwa
menjerit-jerit akan ketidak puasan hatinya
melaung-laung apa yang dirasakannya;
perlukan kedamaian,
perlukan keamanan,
perlukan kesunyian,
perlukan keindahan,
perlukan kasih sayang.

Lambaian desa menggamit ketenanganku
hari pertama puasa rindu kian bertahta di jiwa minda.

ss/spl/pm ... 21/7/2012.


SEBAT RODAT NOBAT KERABAT


Gobok rinduku sarat
menyelirat dan berfirasat
sendat tapi hebat
menaikkan semangat
bercemeti untuk aku buat sebat
hatiku yang dilanda rodat
setelah aku nobat
dirimu sebagai kerabat
kerabat cintaku dunia dan akhirat.

Engkaulah isteri engkaulah sahabat.

ss/spl/pm ... 21/7/2012.


HARAPAN SEORANG IBU


"Anak-anakku
lihatlah ibumu ini
ibu tak akan lama di sini
ibumu akan pergi
meninggalkan kamu bersendiri
di dunia yang fana ini
semuga besarnya kamu nanti
akan menjadi insan yang pertiwi
disegani, dikasihi, disanjungi
dan dihormati
oleh semua insan di dunia ini
itulah harapanku
ibumu yang amat menyayangi - kamu."

ss/spl/pm ... 23/7/2012.


AKU INGIN BERSENDIRI


Akan kututup
lewat pintu gua di hatiku ini
untuk selama-lamanya;
selagi hayat dikandung badan
selagi nyawa menjadi taruhan - bergelandangan
tidak akan pernah kubukakannya lagi
selama-lamanya akan terkunci
dan akan aku buang kuncinya ini
buat menyepikan diriku ini
di sini ... di pintu lautku yang sepi ini
bersendirian dan bersembunyi
dari ombak gelisah
yang akan membadai resah
di pantai hatiku ini
biarkanlah aku begini - di sini
kerana aku ingin, bersendirian - di sini.

Pelaut Malang ingin bersendiri.
 
 

TAK KIRA NAK BALIK RAYA ...GAK!


Hai! ... macam mana nak raya
kalau tiket bas dah tiada
baru hari pertama berpuasa
syarikat bas express dah keluarkan fatwanya;
tiket bas ke pantai timur, selatan dan utara
dah habis kuotanya
yang tinggal hanyalah ke barat daya
apa nak buat tunggulah pula bas tambahan jika ada
itupun jika ada - kata merekalah!!

Mak, abah, atuk, nenek
Ujang nak balik ...gak
tak kira, apa nak jadi jadilah
hatta naik sampan pun - akan Ujang redah
janji dapat Ujang balik
cuma minta-minta
jangan sampan terbalik sudah
tak sempat raya - dah jadi arwah.

Milah!! ... tunggu abang Ujang balik Milah oooooi!!!.

ss/spl/pm ... 21/7/2012.




BUSUNG


Genggaman jejari menyantun ke bumi
pijar di hati hempedu menari
memek muka jiwa terluka
dipendam rasa kalbu binasa
mengempang rindu dada memilu
baldunya palsu beranyaman sembilu
legenda dongeng senggolan ronggeng
badan berlenggeng ponggong tertonggeng
larut mendapan musnah impian
menempah kapan sejadah bernisan.

Ahh! - hanya kerana tanggapan
terguris perasaan...SPL.
 
 

Sunday, 22 July 2012

HARI KE DUA


Jam sudah menghampiri 9 pagi
masih lagi kukuh berdiri
cuma kencingku tidak berlari
duduk mencangkung jaga kesopanan diri
takut terencat pahala puasa, aku ...gak yang rugi
baru masuk hari ke dua ni
rugi-rugi
aku tak mahu menanggung kerugian sia-sia begini
dan menzalimi diriku sendiri
akan aku jaganya dengan rapi
tidak akan aku sia-siakan amalan puasaku sama sekali.

Hari ke dua yang penuh bererti.

ss/spl/pm ... 22/7/2012.


AKIBAT MAIN MERCUN

MENCARI NUR KASIH JANJI ILAHI


Di mercu dunia aku berdiri
bersendirian seorang diri
melunaskan hasrat di dalam hati
menggepal genggaman jari jemari
awan di dahi aku sentuhi
kaki berlangit aku jejaki
memijak onak tajamnya berduri
menggapai mimpi - mungkinkah akan aku ketemui
hasrat meninggi hajat mengguni
di dalam mencari Nur Ilahi Yang Hakiki
di bulan Ramadhan yang dikasihi
bulan barakah bulan suci, kasih Ilahi.

Aku masih tercari-cari.

ss/spl/pm ... 22/7/2012.



Friday, 20 July 2012

TITIAN HATIKU INI


Telah engkau lewati
dari hujung ke hujung
menguliti
setiap zarahnya,
menjarahi
tali temali belati
yang menjadi
pengikat setiap bucuannya
hingga terlerai
pasaknya
tersembam di tepian
tebing berdinding
berbatukan batuan zamrud
di lereng berkabut
melingkari
kerandut hatiku yang berparut.

Titian hatiku ini masih berdenyut sebelum hanyut.

ss/spl/pm ... 20/7/2012.



Thursday, 19 July 2012

RESAH RINDU MENDESAH


Lambaian desa menggamit jiwa,
membelai kalbu di angin lalu;
terbisik padaku satu peristiwa,
kalbu terbelengu rindu memilu.

Bertahun sudah aku berhijrah,
merantau di kota membawa hatiku;
padamu Tuhan aku berserah,
rinduku ini masih memaku.

Pautan kasih rindu asmara,
melengkar di jiwa semakin parah;
dadaku ini ombak bergelora,
cintaku padamu masih terarah.

Ahhh! Sungguh ... gelora di jiwaku semakin mendesah.

ss/spl/pm ... 19/7/2012.



SIAPALAH DIRIKU INI


Pernah satu ketika dahulu aku berhajat
menghuni, menakluki dan menjarahi
segenap lubuk dan landai hutan dara hatimu
menjulurkan kakiku di singgahsana bertebing air terjun di kalbu berkalimu
sambil membiarkan anak-anak ikan mengoles manja telapak kakiku
berenang-renang di serata ceruk muara kasih dan sayangmu
sambil menyelami - ke dasar paling dalam, di dasar kolam cintamu
namun kini, aku sedar siapa diriku ini -
aku hanyalah seekor gagak di rimba kota yang berbatu
yang tidak akan pernah sesekali termampu
untuk terbang hatta hinggap meneguk manisan di lubuk hutan daramu.

Siapalah aku untuk berbuat sebegitu.

ss/spl/pm ... 18/7/2012.


SENJA NAN INDAH ENGKAU DAN AKU


Senja nan indah
menggamit kenangan
di waktu engkau dan aku
berkasih-kasihan
bergenggaman tangan
kita beriringan.

Senja nan indah menjadi taruhan
engkau dan aku ke puncak impian
genggaman tanganmu itu
tidak akan pernah aku lepaskan
selagi bernyawanya aku
senja nan indah
tetap akan aku pertaruhkan.

Senja nan indah tetap di kalbu
menjadi saksinya
kasih engkau dan aku
kerana di senja nan merahlah -
engkau rasminya
menjadi ratu hatiku.

Engkaulah isteriku.

ss/spl/pm ... 18/7/2012.


BUNGA-BUNGA CINTA TERHALANG


Bunga-bunga lalang
kembangnya terhalang
berterbangan
disapu gelombang
yang menyilang
datangnya tidak terhalang
hilanglah bunga-bunga lalang
di sebalik padang ilalang
bagaikan korban
dari sebuah sketsa percintaan
bersketsakan
cinta kecundangan
sebelum mekar harumnya
indah berkembang
dek tangan-tangan
yang berbelang
datangnya untuk menghalang.

Bunga-bunga lalang lambang cinta terhalang.

ss/spl/pm ... 19/7/2012.


LAUTAN SEORANG PERINDU


Lautanku luas
tiada bersempadan
langit dan lautku
bertautan menjadi satu
seumpama sebuah hamparan
permaidani nan biru
berkait di bucunya
bercantuman satu persatu
menjadi satu
mencetuskan fenomena samudera yang biru
menggambarkan
bertapa luasnya lautan kasihku
yang sentiasa bersatu di dalam kalbuku
dan di dada rinduku
selalu disapa bayu menderu
seruling perindu
cinta kasih yang padu
kupotretkan dan kusematkan di lubuk hatiku.

Akulah seorang perindu.

ss/spl/pm ... 19/7/2012.


KEMBALINYA DINANTI-NANTIKAN


Mungkinkah?
Kelibatmu akan muncul
malam ini
di sebalik keindahan
cahaya purnama ibumu
berkesinambungan
dan menyinari alam maya
mengindahkan malam-malamku
bersama keindahan dirimu
disertai keberkatan
kasih sayang
yang telah dijanjikan Ilahi
iaitu malam keberkatan
malam seribu bulan
malam yang menggamit kerinduan
malam dinanti-nantikan.

Oh!! ... kembalinya kamu, amat aku rindukan
kembalinya kamu - di sisiku
wahai anak bulan dari ibunya seribu bulan
anak bulan Ramadhan.

ss/spl/pm ... 19/7/2012. 

 

SALAM MALAM JUMAAT


Pepohon pun mengerti
apa yang bermain di hatiku ini
ketika kesunyian menemani
menggigit tangkai hati.

Malam Jumaatku sunyi lagi.

ss/spl/pm ... 19/7/2012.


STANZA RINDU DI HATI


Stanza sekeping hati
tersayat pilu menanggung duri
menikam kalbu dingin belati
langit senja menjadi saksi
rindu membelengu belikatku terpateri
pepohon jati bagai mengerti
dadaku ini sebak sekali.

Rindu di hatiku terpalit kanji.

ss/spl/pm ... 19/7/2012.



Wednesday, 18 July 2012

APA SALAHKU?


Yang kuinginkan
Hanyalah kasih sayang
Dan sedikit perhatian
Untuk kuadunkan
Di dalam resepi sayang menyayang
Kasih mengasihi, cinta menyintai
Di antara kita berdua.

Agar mekarnya cinta kita
Bersemi – menguntum dan mewangi
Seumpama mekarnya kelopak mawar di hati
Walaupun berduri indahnya tetap berseri.

Sucinya cinta kita
Sesuci embun pagi
Dingin dan meresapi
jiwa dan sanubari.

Murninya cinta kita
Semurni ikral cinta yang sejati
Tercacah indah di hati
Sejati dan abadi.

Adakah salah permintaan aku ini?

Kalau salah - biarkanlah aku pergi
membawa hatiku yang lebur ini
hancur dan berderai
berkecai tidak terkutip olehku lagi.

Selamat tinggal kekasihku ... ahh!
Aku hanya mahu engkau mengerti
dan memahami.

Ss/spl/pm ... 18/7/2012.
 
 

KUNTUMAN MAWAR KASIH DAN SAYANGKU


Kuntuman pertama
aku lakarkan tentang rinduku
yang sentiasa berbunga
indah dan mewangi
kuhadiahkan kerinduan abadi.

Kuntuman ke dua
kulakarkan pula tentang kasihku
yang sentiasa berbunga
di kelopak rinduku
sebagai pewangi rinduku terhadapmu.

Kuntuman ke tiga
kulakarkan tentang sayangku
yang sentiasa mekar berbunga
di tangkai kasih dan rinduku
kujadikan hamparan
sejadah cintaku terhadap dirimu.

Dan akhirnya
kukumpulkan semua kuntuman itu
dan kuabadikan
sebagai jambangan
cinta suciku buat dirimu ... sayangku.

Tiga kuntuman mawar itu bermaksud - aku cinta kepadamu.

ss/spl/pm ... 16/7/2012.
 
 

SAYANG ISTERIKU SAYANG I


Dahulu:

Aku: Sayang ... abang nak boleh?


Isteriku: Abang nak sayang buat apa?


Aku: Abang nak sayang buatkan nescafe tarik satu, boleh?


Isteriku: Boleh bang ... apa salahnya ... .

==================

La ni:

Aku: Yang...abang nak boleh?

Isteriku: Abang nak apa ni???

Aku: Opocot! ... abang nak kahwin lagi satu boleh?

Isteriku: APA???.

Kwang Kwang Kwang Kwang.

ss/spl/pm ...16/7/2012.

SAYANG ISTERIKU SAYANG II


Dahulu:

Aku: Yang, yang ... .


Isteriku: Abang nak apa bang.


Aku: Ayang masak sedap-sedap ya hari ni ... abang laparlah!


Isteriku: Ok bang ... ayang dah masakkan yang 'special' punya untuk abang ... ayang hidangkan ya! ... .

Aku: Wah!! ... lauk kari kepala ikan ... kegemaran abang ... terima kasih sayang ... abang saaaayang, sayang.

=======================

La ni:

Aku: Yang, yang ... .

Isteriku: Ha!! Abang nak apa lagi?

Aku: Ayang dah masak belum? ... Abang lapar ni!

Isteriku: Dah! ... abang pi ler tengok kat dapur tu ... ayang ada kerja ni!!

Aku: HAAAA!!!

Kwang kwang kwang kwang ... ,

"SARDIN TIN AJA!!! ... adu...lah!."

Nenong nenong nenong nenong ... .

ss/spl/pm ... 16/7/2012.

CINDAI KEDAMAIAN


Damai - alam membelai
hatiku semakin layu terkulai
rinduku kian terungkai
kalbuku asyiknya menilai
kasihku kini terlerai
di sebalik tabir alam berbirai
mengintai
cintaku tidak tergadai
tidak berkecai
hanya padamu, kesetiaanku tercanai
aku - panjikan ikral; cindai
alam yang damai.

ss/spl/pm ... 16/7/2012.


KUKUTIP MIMPI - HUJAN DI SIANG HARI


Titisan hujan
membelai kalbu
rindu terbuai
rintikan terlerai
menimpa atap
jatuhnya berderai
membasahi pipi
tempiasnya di hati
di tepian pantai ini aku berlari
mengejar mimpi
esok - ianya pasti ...kan kembali lagi.

Kukutip mimpi - hujan di siang hari.

ss/spl/pm ... 16/7/2012.


KALUNGAN KASIH


Telah aku ... ,
kalungkan kasih
rinduku ini
hanya padamu yang satu
tiada duanya
hanyalah kamu -
ratu di hatiku
selama-lamanya
rinduku -
diriku -
dan cintaku -
menjadi milikmu
yang abadi dan hakiki.

Engkaulah ratuku, isteriku ... permaisuriku.

ss/spl/pm ... 16/7/2012.


ALKAPITA RINDUKU


Di manakah kamu?
Juwita kalbuku
yang aku rindu
setiap waktu
setiap saat - dan ketika bertamu
di lubuk rinduku
tanpa jemu
aku merindui dirimu.

Datanglah padaku
wahai dewi juwita kalbuku
...kan kuseru namamu
beraliskan syahdu merindu
dan kuakralkan lafazku - hanyalah kamu
kekasih yang aku rindu.

Bangsiku berlagu pilu di alkapita rinduku.

ss/spl/pm ... 17/7/2012.

Glosari bahasa:

Alis - celak
Akral - sumpah
Alkapita - permaidani
Bangsi - seruling.

 

PURNAMA RAMADHAN


Kulihat purnama
tiada mengambangnya
seakan menyorok
akan alis cahaya purnama
alkapita di langit merah mataram
bagai terbakar altar kakinya
dek kemerahan api sejagat yang membakar
mungkinkah nanti
runtuh langit gamaknya
menghempap bumi
menimpa seisi alam buana
bah beriringan
bersendukan tangisan
...menangis berhiba sendu esakannya.

Di ambang Ramadhan langit turut bertakwa.

ss/spl/pm ... 17/7/2012.
 
 

MALAM INI AKU INGIN BEREHAT


Malam ini aku ingin berehat
ditemani dingin yang menyengat
berpayung langit yang likat
berlambayungkan gelap yang semakin pekat
merasai kehidupan sang merempat
berlenggeng di kolong yang hanyir, hamisnya menjerat
meresahkan hidungku yang tidak tersumbat
baru seminit - langit malamku, kurasakan ligat
berpusing paksinya sungguh hebat
dan akhirnya terjelepok aku di dalam lumpur pekat bagaikan pengat
apa yang terjadi kemudiannya - satu pun aku tak ingat
tersedar sahaja aku diperambat
oleh penguatkuasa dengan cota berbirat
berdarah di kepala jatuhnya tidak tersekat
tersembam diriku semula jatuhnya sungguh dahsyat
beginilah kehidupan gelandangan-gelandangan yang merempat
sentiasa diperambat
dicerca, dicaci dan diludah oleh mereka yang mempunyai kudrat
seumpama anjing, diri mereka dihambat
langsung tiada ihsan oleh mereka yang kononnya kuat
kuasa di tangan, sesuka hatinya apa yang hendak ... mereka buat
melanggar iradat, khianat
dan hukum sesama manusia dalam nasihat bernasihat
dilanggar ingat tak ingat.

Ahh! ... di manakah lagi tempatnya - untukku berehat?

ss/spl/pm ... 17/7/2012.

Monday, 16 July 2012

SAYANG ISTERIKU SAYANG I


Dahulu:

Aku: Sayang ... abang nak boleh?

Isteriku: Abang nak sayang buat apa?

Aku: Abang nak sayang buatkan nescafe tarik satu, boleh?

Isteriku: Boleh bang ... apa salahnya ... .

==================

La ni:

Aku: Yang ... abang nak boleh?

Isteriku: Abang nak apa ni???

Aku: Opocot! ... abang nak kahwin lagi satu boleh?

Isteriku: APA???.

Kwang Kwang Kwang Kwang.

ss/spl/pm ...16/7/2012.

KUNTUMAN MAWAR KASIH DAN SAYANGKU


Kuntuman pertama
aku lakarkan tentang rinduku
yang sentiasa berbunga
indah dan mewangi
kuhadiahkan kerinduan abadi.

Kuntuman ke dua
kulakarkan pula tentang kasihku
yang sentiasa berbunga
di kelopak rinduku
sebagai pewangi rinduku terhadapmu.

Kuntuman ke tiga
kulakarkan tentang sayangku
yang sentiasa mekar berbunga
di tangkai kasih dan rinduku
kujadikan hamparan
sejadah cintaku terhadap dirimu.

Dan akhirnya
kukumpulkan semua kuntuman itu
dan kuabadikan
sebagai jambangan
cinta suciku buat dirimu ... sayangku.

Tiga kuntuman mawar itu bermaksud - aku cinta kepadamu.

ss/spl/pm ... 16/7/2012.


Se Masyhur Dirimu


Keharumanmu tiada tandingan
gah seantero dunia
dipuja ditatang dara teruna
penghias laman nurani dunia
segar menyentuh kalbu
andai relai dari tampuknya
kelopakmu kekal diuliti
diriku ingin semekarmu
mengharum menyegarkan
sesiapa yang mendekatiku

Lafaz Kalbuku
Julai 15 2012
 
 

BADAI DI HATI


Mendung berarak
bayu menyapa
dedaun beralunan
mengikut rentak siulan
dedahan pohon bergoyangan
rerantingnya bergeser-geseran
membelai kalbu kerinduan
berlagukan simfoni alam
rindu dan dendam kian beragam.

Menyapa hiba - hatiku dibadai gelombang.

ss/spl/pm ... 14/7/2012.


SAYANG ISTERIKU SAYANG


Jam 8.00 pagi

'TOK TOK TOK'


Aku: "Aduhai! ... ni apahal pagi-pagi dah memekak ni

tak ada kerja lain ke?"

Isteriku: "Tengah ketuk ais, nak buat nescafe ais"


Aku: "Pagi-pagi minum ais? Ish! ... kacaulah orang nak tidur!!!"

=========================

Jam 10.00 pagi

'ADUHAI!!! ... '

Aku: "Kenapa tak kejut abang bangun? Kan ... tahu abang kena 'overtime' hari ni!"

Isteriku: "Orang ketuk ais tadi pun kena marah, ni ...kan pula nak kejut bangun"

Aku: "Aduhai ... aduhai ... aduhai"

ss/spl/pm ... 14/7/2012.

TEMAN SEJATI DI ALAM MAYA


Teman sejati;

Bukannya seorang yang bermuka-muka

memijak kepala tanpa diduga
baik cuma di hadapan mata
menikam curi di belakang kita.

Teman sejati;


Tidak melihat akan ketampanan raut muka
terpesona akan lagak dan gaya
tapi bila melihat kebahagiaan rumah tangga kita
mereka akan menjauhkan diri dalam kadar serta merta.

Teman sejati;

Akan tetap bersama-sama kita
dalam suka dan dalam duka
menyukai karya kita tanpa beragenda
jika ada kekilafan yang tidak kita sangka
akan menegur untuk kita memperbaikinya
agar jangan berulang di hari muka.

Begitulah yang aku hajati di halaman alam maya
teman sejati yang tidak bermuka-muka
mengagumi karya-karya yang telah aku cipta
yang aku lakarkan untuk hiburan teman-teman semua
bukannya jatuh cinta pada paras rupaku yang tidak seberapa
dan bila melihat sahaja aku bahagia dengan isteri tercinta
terus berlalu tanpa menyapa dan memberi khabar berita.

Sukarnya mencari teman sejati di dalam alam maya.

ss/spl/pm ... 14/7/2012.

TARIAN HIDUP


Sang camar menari
mengikut irama simfoni
gemalai lenggokan tariannya
memecah keheningan senja
di tepian pantai cinta birahi
kusaksikan alam dan fauna bersebati.

Terlihat juga olehku
sesusuk tubuh sedang menari
menarikan tarian irama hidup di kota
yang menghimpit jiwa dan raga
dengan gemalai tangan dan kakinya
seakan sedang berseloka
inilah tarian hidup
diriku yang sengsara.

Tarian hidup memainkan lenggok iramanya.

ss/spl/pm ... 14/7/2012.


haiku


di waktu petang
daun lalang bergoyang
merdu seruling

14/7/2012. 

 

CAKRAWALAKU TENAT DAN BERKARAT


Cakrawalaku berpusing ligat
berdesing bagai penyengat
apa sahaja terlintas terus tersagat
terikat
bersatu dengan belikat
merantai kudrat
jiwa berbirat
harakat demi harakat
membusung nanah memekat
meletus tidak tersekat.

Aduhai! ... cakrawalaku semakin tenat dan berkarat.

ss/spl/pm ... 15/7/2012.


KALBU BERTASBIH


Ratapan malam laungan serigala,
di kamar kalbu ratapan bertakbir;
kuserah kasih kuserahkan segala,
kuukir namamu kutatahkannya di bibir.

Sayang selasih bertihnya putih,
sedap diminum bercampur sirap;
kerana rindu hatiku merintih,
jelmaan bulan pungguk mengharap.

Senyuman rindu di angin senja - kalbu bertasbih.

ss/spl/pm ... 15/7/2012.
 
 

MAWAR TANDA KASIH


Sekuntum mawar
di telapak tanganmu itu
pemberian dariku
untukmu yang aku panggil sayang
ingin kusematkan ianya
di sanggul rambutmu
sebagai mahkota hiasan yang tersergam indah
menjadikan ianya sebagai simbolik
kasihnya aku - sayangnya aku
terhadap dirimu
oh! ... kekasihku
yang selalu aku - rindukan.

Aku amat mengasihimu - sayangku.

ss/spl/pm ... 15/7/2012.


CINTA SUCI


Telah kupateri
kasihku ini
kuabjadkan ianya
dengan huruf-huruf namamu
agar kukuh jalinannya
bersatu dan bersebati
tidak terlerai
dilanda taufan dan badai
selama-lamanya
terpateri
kekal abadi.

Kupaterikan kasih dengan api cinta yang suci.

ss/spl/pm ... 15/7/2012.



Saturday, 14 July 2012

haiku


awan menebal
pokok tiada bayang
tudung kepala

ss/spl/pm ... 14/7/2012. 

 

ADAT ATAU TUNTUTAN AGAMA


(Prosa)

Sita dewi memakai sari, kainnya berkaki-kaki bukannya sehasta bukannya seinci buat menutupi dan melitupi sekujur tubuh monggel dan berisi - payu dara tertutup coli namun pusatnya kunampak sungguh berdaki di sebalik hiasan yang ditindik indah sekali tapi dakinya tetap tidak tertutupi berkali-kali, kain sari ... menjadi lambang penutup tubuh bukannya aurat yang disuruh - inikah jadinya nanti ...pabila tudung kepala sebagai perhiasan adat untuk ke kubur bukannya penyelamat di waktu kita disiksa di dalam kubur ... ingatlah mati tidak sesekali dapat kita lewati.


ss/spl/pm ... 13/7/2012.


 

AKU BUKAN MENZALIMIMU


Tak perlulah merayu
andai tak dapat menembusi dindingku
kerana tiada apa di situ
tiada kata cinta atau bingkisan rindu
dari gadis lainnya setelah kamu
tiada apa-apa di situ
melainkan bahasa kaku
kerana setelah engkau pergi dariku
setelah engkau tidak memerlukan aku
tiada kubuka lagi dindingku
untuk dirimu
untuk gadis-gadis lainnya setelah kamu
untuk melakarkan kata cinta di dindingku
dan bukannya aku menzalimi dirimu
itulah yang engkau pinta dariku
perpisahan yang telah ditentukan kehendakmu.

Maafkan aku ... aku bukan seperti dahulu.

ss/spl/pm ... 13/7/2012.