Thursday 9 August 2012

RAYUAN PILU SI LUMPUH

Puisi istimewa untuk Mahmud Hamid 63 tahun ditinggalkan isterinya kerana lumpuh serangan angin ahmar.

RAYUAN PILU SI LUMPUH

Pernahkah kauterfikir
di kala ini - di ketika ini
umurmu baru menginjak 38 tahun
masih muda, masih cantik dan bertenaga
walau bukan di alam remaja
namun masih berharga
masih bergetah, menggiurkan mata
sesiapa sahaja
yang pastinya tidak akan melepaskannya
dari menatap dan memandang tubuh giurmu
kautinggalkan diriku
dalam keadaan lumpuh sebegini
diserang angin ahmar
teronar akan kezaliman dirimu yang sebenarnya
merana zahir dan batinku
sebatang kara
tanpa anak dan isteri
untuk menjaga makan dan pakaiku
untuk mencuci berak dan punggungku
untuk membelai dan memanjakan hatiku
dan hanyalah ibu tiriku
yang uzur, tidak bermaya
yang uzur, tidak bertenaga kudratnya
yang uzur, tidak terjaga akan kesihatannya
kausandarkan sebuah pengharapan
untuk menjaga kebajikan dan kemahuan hayatku
setelah segalanya aku serahkan
setelah seluruh harta dan wang ringgitku aku limpahkan
hanyalah kepadamu - isteri kesayanganku
seorang isteri yang aku sandarkan sebuah pengharapan
dapat menjaga kebajikan diriku
di saat nazak semakin menghampiriku
di saat uzur memanggil pembaringan ... aku.

Namun pertanyaanku ini hanyalah satu
berlandaskan pertanyaan aku kepadamu
pernahkah engkau terfikir
di saat ini, di ketika ini dan di waktu ini
38 kauterbalikkannya pula menjadi angka 83
bagaimanakah nanti ... keadaannya kamu
seandainya Allah melanjutkan - usiamu ke angka itu.

Inilah rayuan batin hatiku; si lumpuh yang tidak berharga di pandangan matamu.

Nukilan istimewa dariku Sazalee Sulaiman Nilai Negeri Sembilan ... 9/8/2012.

No comments:

Post a Comment